Isnin, 17 September 2018

Dr M: Sabah boleh capai pembangunan pesat


Bernama

KOTA KINABALU: Sabah berkeupayaan membangun lebih pesat lagi selepas mencatatkan banyak kemajuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya beliau kagum dengan landskap Sabah selepas tiba di ibu negeri ini semalam untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia malam tadi dan percaya negeri ini mempunyai potensi tinggi untuk menjadi negeri maju.

“Saya sudah lama tidak berkunjung ke Sabah… bandarnya kini agak bersih.

“Saya fikir apa yang patut dilakukan (untuk membangunkan lagi Sabah) adalah untuk mengenal pasti aset Sabah yang boleh dieksploitasi.

Anda mempunyai tanah, gunung, laut dan pantai dan suhu rendah, yang mungkin sesuai untuk menanam sayur-sayuran,” katanya kepada pemberita selepas bersarapan pagi bersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta menteri Kabinet persekutuan dan negeri.

Dr Mahathir turut menzahirkan kebimbangan dengan kos sara hidup tinggi yang ditanggung rakyat Sabah akibat rasuah dalam pentadbiran terdahulu, tetapi tidak menafikan terdapat juga faktor lain yang menyumbang kepada kos tinggi seperti pelaksanaan dasar kabotaj.

Beliau turut mengesyorkan Sabah mewujudkan industri automotif bagi membolehkan pengeluar kereta memasang produk mereka di negeri itu.

“Industri boleh datang ke sini kerana pada masa depan, Sabah bakal menjadi pengeluar petrokimia berikutan pengeluaran dasar laut akan bermula dalam waktu terdekat,” katanya.

Berhubung jaminan kerajaan untuk memberikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, perdana menteri berkata perbincangan berhubung perkara itu akan dilakukan secepat mungkin, bagaimanapun, kelulusannya mungkin akan mengambil masa.

Pada sambutan Hari Malaysia di sini, malam tadi, Dr Mahathir memberi jaminan kerajaan Pakatan Harapan melalui Malaysia Baharu akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa negara terbentuk 55 tahun lalu.

Katanya, status Sabah dan Sarawak, yang berubah daripada rakan sekutu kepada negeri dalam Malaysia, yang akan dikembalikan itu adalah sebahagian daripada proses dilaksanakan setelah kajian MA63 disiapkan.

Tiada ulasan: