THE MALAYSIAN TIMES
ALOR SETAR : Pergerakan
Pemuda UMNO negeri mencadangkan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan
calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang terpaksa
diadakan semata-mata untuk memberi laluan kepada bakal Presiden PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan
Mashri berkata, cadangan supaya tidak meletakkan calon itu bukan
bermaksud BN mengangkat bendera putih sebelum berjuang tetapi satu
manifestasi untuk tidak melayan keegoaan seorang ahli politik yang rakus
mengejar kuasa.
“PRK
Parlimen Port Dickson sama sekali berbeza kerana penyandangnya meletak
jawatan semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar sedangkan tiga PRK
sebelum ini disebabkan wakil rakyatnya meninggal dunia.
“Daripada membuat masa terhadap PRK yang hanya
berpusat kepada Anwar dan hanya membazirkan wang rakyat disebabkan
permainan politik, lebih baik BN menumpukan perhatian terhadap usaha
mengukuhkan parti serta Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung
hujung bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Syed Mohd. Johan Rizal, lebih baik membiarkan
Anwar mendapat kemenangan percuma atau menghadapi pertandingan dengan
parti lain dalam PRK Parlimen Port Dickson yang sememangnya bertujuan
untuk merealisasikan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri.
“Kemenangan atau kekalahan Anwar tidak akan memberi
sebarang impak kepada kem pembangkang, jadi biarkan sahaja. Kita selaku
pihak pembangkang jangan terlalu fokus terhadap hal ehwal PKR,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan