SHAH ALAM - Tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menerima pelantikan bagi jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disifatkan sebagai merendahkan martabat golongan akademik di negara ini.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, situasi itu menunjukkan seolah-olah tiada individu lain yang layak untuk dilantik memegang jawatan tersebut.

“Walaupun tiada undang-undang yang menghalang, namun dari segi etika pentadbiran dalam pendidikan saya rasa situasi ini tidak berapa sesuai kerana jawatan beliau sebagai menteri  lebih tinggi tarafnya.

“Jadi tak payahlah beliau pegang jawatan itu, ramai lagi orang akademik yang layak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Ini yang buat kami terkejut']

Mengulas lanjut, beliau berkata, tafsiran jawatan presiden itu dari segi etika atau bahasa biasanya adalah merupakan wakil kepada Menteri Pendidikan sama seperti pengetua sekolah yang merupakan wakil Menteri Pendidikan.

“Ibaratnya situasi sekarang, kalau beliau boleh jadi presiden UIAM, maka beliau juga boleh jadi guru besar di mana-mana sekolah.

“Jadi saya berpendapat Perdana Menteri perlu beri nasihat kepada beliau supaya jawatan tersebut diserahkan kepada individu yang lebih layak,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga tidak menolak tindakan itu akan menyebabkan situasi bias kepada universiti awam yang lain.

“Saya yakin, bahawa universiti lain pun kalau boleh mahu beliau menjadi presiden kerana sudah tentu ia akan memudahkan institusi tersebut terutama dari segi peruntukan dan sebagainya,” katanya.