Ahad, 16 September 2018

Telco diberi tempoh akhir September kemuka pakej baharu jalur lebar

Norlaile Abd Rahman

KUALA LUMPUR- Semua syarikat telekomunikasi di negara ini diarahkan untuk mengemukakan cadangan pakej baharu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selewat-lewatnya 30 September ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, walaupun ada permohonan yang mahu tempoh tersebut dilanjutkan sekali lagi, kerajaan bertegas untuk tidak menunaikannya.

“Semua telco perlu kemukakan cadangan pakej baharu ke SKMM sebelum 31 Ogos. Permohonan untuk lanjutan masa (selama) dua tahun kita (kerajaan) tolak.

“Lanjutan diberi sehingga 30 September ini kerana Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan pada 1 September dan ada isu-isu seperti pra-bayar yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Tiada lanjutan masa lagi diberikan,” katanya dalam hantaran di Twitter hari ini.

Tambah Gobind, selepas cadangan tersebut dikemukakan kepada SKMM, kerajaan boleh melaksanakan pakej baharu dengan segera dan seterusnya menyaksikan harga jalur lebar lebih rendah tetapi kelajuannya meningkat menjelang hujung tahun ini.

Peruntukan pelaksanaan penurunan harga itu diperlukan berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) sejak 8 Jun lalu dan berkuatkuasa 1 Januari 2018, yang antara lain, mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.

Sepatutnya pada awal September lalu pengguna dapat menikmati harga baharu yang lebih rendah dengan kelajuan tinggi bagaimanapun banyak syarikat telekomunikasi yang meminta tempoh cadangan dilanjutkan dari 31 Julai kepada 31 Ogos dan sekali lagi tempoh pelanjutan diberikan kerajaan sehingga hujung bulan ini.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: