Isnin, 17 September 2018

‘Kerjasama UMNO-PAS demi ummah, bukan caturan politik’

siti hafidah

Tubuh petugas khas untuk dapatkan pandangan akar umbi, kenal pasti masalah berbangkit: Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memperhalusi dan meneliti kerjasama di antara partinya dengan PAS.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama kedua-dua parti demi penyatuan ummah, bukan untuk percaturan politik.

“Ia merupakan tuntutan agama kita iaitu Islam supaya kita bersatu dan bermuafakat.

“Kita mahu mengambil hati, suara-suara akar umbi serta mengenal pasti masalah-masalah berbangkit,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan kali ketiga Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, penubuhan pasukan khas adalah untuk mengumpul pandangan para perwakilan Pemuda pada Persidangan Sayap Pemuda, Perhimpunan Agung UMNO 2018 pada 29 September ini.

Petugas khas ini akan dipengerusikan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama UMNO-PAS bukan gabungan politik bersifat tahaluf siyasi, sebaliknya ia dibentuk dalam kerangka gagasan parti pembangkang.

Katanya, kerjasama kedua-dua parti mengikut garis perjuangan yang mempunyai kesamaan iaitu Islam, Melayu dan rakyat tanpa mengira latar belakang.


Tiada ulasan: