Rabu, 5 September 2018

Sampai bila nak kaji Auku, aktivis tanya PH


Adam Adli. (Gambar Youtube)


Nur Syamila Kamarul Arefin

Adam Adli berkata tempoh masa 5 tahun untuk memansuhkan akta itu tidak wajar dan terlalu lama, dan berita melaporkan hasrat mengkaji atau memansuhkan akta itu bukan perkara baharu.

“Buat apa kaji perkara yang sudah siap dikaji dan didebatkan selama ini seolah-olah kita tidak tahu apa hendak buat?” katanya.

Adam mengingatkan Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah semasa menjadi timbalan menteri pengajian tinggi tidak memerlukan masa 1 tahun untuk meminda Auku.

“Saya tak tahu apa pendirian Maszlee Malik sebelum jadi menteri pendidikan tetapi timbalannya, Teo Nie Ching antara ahli politik yang lantang dan faham masalah Auku selama ini,” katanya.

Semalam menteri pendidikan mengumumkan pentadbiran Tun Dr Mahahir Mohamad sedang mengkaji kemungkinan memansuhkan Seksyen 15 dan 16 dalam Auku yang didakwa menghalang kebebasan berpolitik di kampus.

Maszlee berkata pemansuhan akta itu, jika ia dilakukan, adalah langkah jangka pendek kerana dalam jangka masa panjang kerajaan mahu menggantikan undang-undang itu.

Adam menggesa Maszlee berhubung dengan kumpulan pelajar dan Saifuddin yang “fasih dengan masalah Auku”.

Sementara itu, Anis Syafiqah Yusof pula berkata para pelajar harus diberi kebebasan bersuara sepenuhnya dan bukan “sebahagian penuh”.

“Kerajaan perlu lihat aktivis yang disenarai hitam di universiti, diganggu atau dihukum, mengikut Auku,” katanya.

Anis juga berkata pelantikan Maszlee sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bercanggah dengan kebebasan dan autonomi akademi.

“Sepatutnya ahli akademi lain yang layak memegang jawatan presiden bagi mengelakkan pertikaian. Pelantikan Maszlee akan menyebabkan semak dan imbang terjejas kerana pertindihan tugas,” katanya.

Tiada ulasan: