Isnin, 10 September 2018

PH Terengganu difitnah kononnya bantah sebatan terhadap lesbian

siti hafidah

PH Terengganu buat dua laporan polis

KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu kecewa dan kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menabur fitnah kononnya PH Terengganu membantah hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pasangan lesbian pada 3 September lalu.

Pengerusi PH Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pada hari hukuman sebatan itu dijalankan, satu risalah palsu telah diletakkan di kereta milik orang awam yang terletak di luar perkarangan mahkamah.

“Risalah itu mengandungi kenyataan kononnya daripada Urusetia Pakatan Harapan yang menegaskan hukuman itu sebagai satu bentuk penindasan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sedangkan pendirian kita jelas untuk menghormati dan mematuhi apa sahaja undang-undang yang telah diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

“Adalah amat jelas bahawa fitnah itu hanya bertujuan menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat terhadap PH. Malah ia adalah satu perancangan yang sangat rapi dan tersusun untuk memfitnah PH Terengganu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Tiada ulasan: