Isnin, 10 September 2018

‘Najib tak perlu jadi wira’

siti hafidah


Guan Eng perli bekas PM isu pau kena SST

 


GEORGETOWN – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memerli bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mempersoalkan mengapa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikenakan terhadap makanan seperti kuih pau.

Guan Eng berkata, beliau hairan apabila Najib membuat rungutan itu kerana kedua-dua cukai iaitu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan SST mengenakan peratusan yang sama sebanyak enam peratus.

“Saya amat hairan dengan beliau. Masa dia kenakan GST, tidak pula dia merungut. Sekarang apabila kerajaan kenakan SST dia merungut pula sedangkan SST pun enam peratus sama seperti GST.

“Cuma yang membezakan SST dengan GST, ia memberi kelonggaran kepada peniaga kecil. Yang mana nilai ambang dalam setahun kurang dari RM1.5 juta, tak kena SST. Bukan macam GST dulu, semua sapu rata. Orang tidak bergaji pun kena bayar GST.

“Kita harap bekas Menteri Kewangan (Najib) janganlah cuba untuk menjadi wira sekarang. Bila masa dia (mentadbir negara), GST enam peratus itu jauh lebih teruk, tapi sekarang apa yang kita tetapkan (SST) amat longgar,” katanya kepada sidang media di sini, hari ini.

Guan Eng berkata demikian ketika mengulas mengenai satu kenyataan yang dimuat naik Najib menerusi akaun Twitter miliknya semalam yang terkejut apabila sebuah kedai sederhana kecil di Tanjung Malim, Perak turut mengenakan SST untuk makanan seperti kuih pau.

Tanpa memberi penerangan lanjut berhubung dakwaan itu, Guan Eng bagaimanapun menjelaskan hanya pengusaha makanan dan minuman yang terlibat dengan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok dikecualikan SST.

Guan Eng berkata, apa yang dilakukan oleh Najib adalah dinamakan hipokrasi dan penipuan ekonomi.

“Dengan apa yang beliau suarakan ini, ia menunjukkan bahawa Najib masih menyokong dan akan kembalikan GST,” katanya

Tiada ulasan: