Isnin, 10 September 2018

Kerajaan mula langkah mansuh AUKU

tyrazalhe

Maszlee hargai kebebasan bersuara mahasiswa, jamin hak dikekalkan

BANGI – Kementerian Pendidikan telah memulakan langkah untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), sekali gus memulangkan hak kebebasan bersuara kepada mahasiswa.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, golongan mahasiswa sudah lama hidup dalam budaya takut bersuara setelah wujudnya undang-undang yang menyekat kebebasan mereka seperti AUKU.

“Ramai yang memberi pandangan mengenai keberanian mahasiswa bersuara. Ada yang terima sebagai sesuatu yang membina. Ada yang anggap sebagai biadap. 

“Suara mereka saya terima dan seperti yang saya sendiri katakan, saya ingin berjumpa dengan mereka yang mengadakan protes baru-baru ini dan mendengar sendiri apa yang mereka ingin utarakan,” katanya dalam catatan di Twitter, hari ini.

Maszlee berkata, beliau menghargai kebebasan bersuara golongan mahasiswa, dan sedia memberi jaminan mengekalkan hak itu kepada mereka.

“Saya jamin mereka boleh terus bersuara. Kita mahu melahirkan mahasiswa yang kritikal dan berani bersuara. Mereka ialah mahasiswa kita, pelapis pemimpin negara kita.

“Sehubungan itu saya akan umumkan beberapa pendekatan dalam waktu terdekat,” katanya.

Jumaat lalu, sekumpulan mahasiswa yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan hadir ke Kementerian Pendidikan untuk berjumpa dengan Maszlee, bertujuan bagi mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan atau Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Susulan insiden berkenaan, dua mahasiswa yang menyertai bantahan di kawasan Kompleks Kerajaan Parcel E di Putrajaya ditahan polis kira-kira 2 pagi Sabtu lalu.

Minggu lalu, Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Pelantikan itu bagaimanapun, mencetuskan kontroversi apabila mendapat bantahan orang ramai kerana beliau kini sedang memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.

Maszlee dilaporkan berhasrat untuk menghadap Sultan Pahang sebagai Ketua Perlembagaan UIAM untuk mendapatkan nasihat berhubung isu pelantikannya.


Tiada ulasan: