Jumaat, 21 September 2018

Peguam Azhar Azizan dilantik Pengerusi SPR – KSN

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Peguam Azhar Azizan dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 1 Julai lepas.

Ketua Setiausaha Negara Dr Ismail Bakar dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Azhar, 56, yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya dan Sarjana Undang-Undang dari King’s College, University of London, kini berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Azhar & Goh dan mempunyai kepakaran dalam undang-undang pilihan raya.

“Azhar memulakan kerjaya guaman pada 1987 di Allen & Gledhill. Bermula tahun 1992, beliau berkhidmat sebagai peguam di Tetuan KH Koh, Azhar & Koh,” katanya.

Ismail berkata Azhar seterusnya berkhidmat di beberapa firma guaman terkemuka tanah air antaranya Tetuan Khaw & Hussein, Tetuan TH Su & Partners, Tetuan Lamin & Co, Tetuan Hisham Sobri & Kadir, Tetuan Shafee & Co dan Tetuan Cheang & Ariff.

“Dengan kelayakan serta pengalaman yang ada, saya yakin beliau akan dapat menjalankan tugas, kewajipan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna,” katanya.—Bernama

Tiada ulasan: