Isnin, 17 September 2018

Kerajaan digesa segerakan pelantikan pengurusan Perda

 
Kerajaan digesa segerakan pelantikan pengurusan Perda

Kerajaan diseru supaya segera memberi tumpuan serius terhadap Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda)

Penyelaras Dun Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed berkata, kegagalan kerajaan memastikan kesemua pengurusan dan pentadbiran agensi kerajaan bergerak lancar akan membantutkan penyaluran bantuan kebajikan, ekonomi, pendidikan dan seumpamanya.

Malah katanya, sehingga kini banyak lagi portfolio pengurusan Perda tidak dikemaskinikan sehingga memberi kesan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan sokongan agensi tersebut.

“Sepatutnya setelah berjaya menjadi kerajaan maka gerak kerja Perda harus pantas dan cergas.

“Masyarakat dibawah yang sebelum ini sering mendapat sokongan agensi tersebut termasuklah peniaga dan usahawan kecil masih lagi menanti tempoh yang agak lama.

“Begitu juga dengan dokongan yang diperlukan oleh pelajar-pelajar melalui pelbagai skim yang disediakan oleh Perda sebelum ini, ” ujarnya ketika ditemui.

Jasmin yang juga merupakan Setiausaha Bersatu Bahagian Tasek Gelugor turut berkata, kelewatan tersebut juga memberi impak kepada pelbagai golongan masyarakat khususnya dikawasan luar bandar.

“Sebagaimana kita semua sedia maklum, Perda merupakan salah sebuah agensi kerajaan yang banyak memberi perhatian kepada penduduk luar bandar.

“Ia juga memberi perhatian kepada golongan miskin khususnya bantuan peralatan mesin, pelajar sekolah dan sebagainya.

“Setelah berjaya menjadi kerajaan sejak Mei yang lalu, seharusnya pelantikan pentadbir dan pengurusan Perda telah selesai bagi memudahkan masyarakat, ” tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, perkara ini tidak harus dipandang ringan setelah Perda terbukti sebelum ini banyak membantu masyarakat diluar bandar khususnya orang Melayu yang masih tempang dalam sektor ekonomi

Tiada ulasan: