Rabu, 5 September 2018

Bekas ADUN PAS bebas dengan jaminan SPRM RM10,000

THE MALAYSIAN TIMES



SHAH ALAM: Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada PAS dibebaskan hari ini selepas direman dua hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dana kerajaan berjumlah RM50,000.

Ia berikutan suruhanjaya berkenaan telah melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Majistret Shazali Hidayat Shariff membenarkan wanita berusia 56 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM10,000 serta seorang penjamin.

Bekas ADUN yang memakai baju kurung dan bertudung hijau dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini, dengan diiringi pegawai SPRM.

Wanita itu kemudian dibebaskan kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi di pejabat SPRM Selangor selepas membayar wang jaminan.​

Semalam mahkamah mengeluarkan perintah tahanan reman selama dua hari ke atasnya.

Bekas ADUN itu didakwa melantik sebuah syarikat sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat ​​​​​​Dewan Undangan Negeri yang mana syarikat tersebut adalah milik anaknya, sekitar 2015 hingga 2018.

Sementara itu, peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan yang mewakili bekas ADUN itu memberitahu pemberita pihaknya kini hanya menunggu tindakan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara.

“SPRM telah menyelesaikan siasatan mereka dan menyerahkan kertas siasatan berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara. Kini, saya dan anak guam hanya menunggu apakah tindakan lanjut daripada mereka,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah.- Bernama

Tiada ulasan: