Rabu, 5 September 2018

Ahli politik digesa tidak campur tangan proses perancangan bandar

THE MALAYSIAN TIMES
 


PETALING JAYA: Ahli politik digesa tidak campur tangan dan menyalahgunakan kuasa dalam menentukan sesuatu perancangan masa depan bandar bagi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti, kata Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah berkata berdasarkan pengalamannya selama 10 tahun sebagai Anggota Parlimen Lembah Pantai sebelum ini, beliau melihat ada ahli politik mengganggu proses perancangan masa depan bandar sehingga menjejaskan keselesaan penduduk.

“.. tidak boleh lagi ada pertalian politik dalam perancangan bandar kerana jika tidak, kita akan lihat ada kehidupan rakyat di mana-mana kawasan yang diterokai pemaju semata-mata tanpa mengambil kira keselesaan penduduk.

“Jadi, gesaan saya bukan sahaja untuk ‘young town planners’ (para perancang bandar muda) tapi sesiapa sahaja yang terlibat dalam proses itu (perancangan bandar) haruslah menitikberatkan impak yang baik, bukan mengikut telunjuk ahli-ahli politik,” katanya.

Nurul Izzah berkata demikian kepada pemberita selepas berkongsi pandangannya dengan golongan muda dan profesional perancang bandar anjuran Institut Perancang Malaysia (IMP) di sini hari ini.

Turut bersependapat dengan Nurul Izzah, Pensyarah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Mizan Hitam berkata ahli politik seharusnya mendengar pandangan dan nasihat daripada pakar perancang bandar dan pasukan teknikal lain.

“Saya nasihatkan bidang-bidang profesion ini (perancang bandar) lebih tegas dalam memberikan pandangan teknikal dan perlu perbincangan lebih banyak antara perancang, jurutera dan ahli politik.

“Nak dikatakan ahli politik tidak termasuk langsung dalam perancangan bandar tidak boleh, kerana memang ahli politik yang dilantik bertindak sebagai legislatif yang membuat keputusan, tapi mereka harus menerima pandangan pakar,” katanya.– Bernama

Tiada ulasan: