Rabu, 4 April 2018

Saya hairan, kata Mat Sabu selepas dilarang ke Sarawak




PETALING JAYA: Presiden Amanah, Mohamad Sabu hari ini dilarang memasuki Sarawak, sejurus beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pagi ini.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dijadual mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Amanah Sarawak bagi membincangkan persiapan pilihan raya umum ke-14.

Ahli politik veteran itu memberitahu FMT, beliau pada mulanya bercadang berada di Sarawak selama beberapa jam sebelum pulang petang ini.

“Saya nak lawat sekejap sahaja, itupun mereka tak benarkan.

“Ini pelik. Kita boleh pergi seluruh dunia, tapi bukan di negara sendiri. Saya pun tak tahu kenapa dasar ini diteruskan,” katanya kepada FMT sambil berada di ruang menunggu lapangan terbang itu untuk penerbangan pulang pada 1.30 tengah hari ini.

Bekas pemimpin PAS itu mempersoalkan larangan itu dengan berkata, beliau tidak menghadapi masalah ketika ke Miri dan Bintulu, minggu lalu.

“Memerintah negeri macam JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung). Politik bukan jenayah. Saya memang hairan,” katanya.

Mat Sabu pernah dilarang ke Sarawak pada 22 Mac 2016 untuk berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Sarawak juga pernah menafikan kemasukan pemimpin pembangkang dan aktivis lain sebelum ini.

Pada 2016, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dihalang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Miri.

Pemimpin lain termasuk ahli politik Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan, bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan, pensyarah Ridhuan Tee Abdullah, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan aktivis PSM, KS Bawani.

Tiada ulasan: