Jumaat, 27 April 2018

‘Penjajahan perdagangan’ China lebih patut dibimbangkan, kata pakar ekonomi

 
Barjoyai Bardai berkata lokasi strategik Malaysia menjadikannya menarik bagi China.


Syarikat China juga boleh mengalahkan pengeluar tempatan dengan menghasilkan barangan dan perkhidmatan pada harga lebih rendah. (Gambar Reuters)


PETALING JAYA: Penjajahan perdagangan hasil pelaburan meningkat oleh syarikat China adalah kebimbangan lebih besar buat Malaysia daripada kemungkinan kejatuhan eksport ke China, menurut pakar ekonomi.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak percaya penurunan dalam eksport Malaysia ke China tidak sepatutnya menjadi kebimbangan besar memandangkan Malaysia boleh mengeksport produknya ke negara lain.

Bagaimanapun katanya, jumlah pelaburan syarikat China dalam negara ini boleh membawa masalah.

“Lokasi kita strategik, dan secara semulajadinya China mahu berada di sini. Jadi mereka labur, berikan kita terma yang menguntungkan dan syarikat China mendirikan kedai di sini secara besar-besaran,” katanya, walaupun mengakui sejak kebelakangan ini kerajaan China menyekat aliran keluar modal dari negara mereka.

“Penjajahan perdagangan” boleh berlaku jika syarikat China memindahkan aktiviti pengeluaran dan pengagihan mereka ke Malaysia bagi memperkukuh kedudukan di rantau ini.

Walaupun pekerjaan akan tercipta, tetapi akibat kesan pengganda, syarikat China juga boleh “mengalahkan” pengeluar tempatan dengan menghasilkan barangan dan perkhidmatan pada harga lebih rendah dan akhirnya menggantikan syarikat Malaysia sebagai pengeluar utama.

“Ini membolehkan syarikat China mengawal harga dan kualiti barangan dan perkhidmatan,” kata Bardai.

Bagaimanapun katanya, syarikat di Malaysia masih mempunyai kelebihan menerusi perlindungan tarif.

Sebelum ini, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata eksport Malaysia ke China mula menurun pada waktu pelaburan langsung asing negara itu ke Malaysia meningkat daripada AS$251 juta pada 2003, kepada lebih AS$400 juta pada 2009.

Menjelang 2013, pelaburan Malaysia di China mencecah AS$280 juta dan pelaburan China di Malaysia berjumlah AS$616 juta dan meningkat sehingga hampir AS$4 bilion menjelang akhir 2017. Terma dagangan tidak lagi memihak kepada Malaysia bermula tahun 2012, kata institut itu.

Tahun lepas, Malaysia menjadi penerima pelaburan langsung luar negara China ke-4 terbesar, daripada kedudukan ke-20 pada 2015. Pada masa itu, pelaburan China melambung daripada RM1.5 bilon pada suku pertama 2015 kepada hampir RM15 bilion pada suku ke-4 tahun 2017, menurut angka Jabatan Statistik

Tiada ulasan: