PRU14 | BERSIH hari ini mempersoalkan keperluan dan rasional di sebalik syarat tambahan kempen pilihan raya yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam kenyataan medianya, badan pendesak pembaharuan pilihan raya itu mempersoalkan alasan SPR memperkenalkan syarat berkenaan ketika ada masalah lain yang lebih penting perlu diselesaikan.
"Memandangkan ada beberapa isu lain lebih besar berhubung pilihan raya yang memerlukan perhatian SPR seperti percanggahan dalam daftar pemilih, kerajaan sementara, undi pos dan pengundian awal, sangat mengejutkan apabila SPR memilih untuk menumpukan tentang bahan kempen parti politik.
"Tidak timbul masalah untuk memaparkan individu lain dalam bahan kempen parti politik dalam 13 pilihan raya sebelum ini, jadi kenapa tiba-tiba syarat tambahan ini diperkenalkan sekarang?" katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan syarat tambahan pilihan raya yang diperkenalkan SPR semalam yang antara lain menggariskan agar hanya gambar dua pemimpin politik daripada parti masing-masing bertaraf jawatan presiden dan timbalan presiden bersama gambar calon yang dibenarkan pada poster kempen.
BERSIH mempersoalkan sama ada peraturan baru itu bererti poster, papan tanda dan bunting ceramah menampilkan panelis selain tiga individu yang dibenarkan SPR, termasuk yang memaparkan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sekitar Kuala Lumpur akan diturunkan, memandangkan beliau hanya bertanding di Putrajaya.
"Sekiranya dilaksanakan, peraturan ini tidak akan membenarkan gambar (Pengerusi Pakatan Harapan) Tun Dr Mahathir Mohamad dan (Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim di semua kawasan yang ditandingi HARAPAN di bawah logo PKR.
"BN pula tidak akan mempunyai sebarang masalah memaparkan gambar Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam bahan kempen mereka kerana mereka adalah presiden dan timbalan presiden BN," katanya.
Justeru, BERSIH menambah pengenalan syarat baru itu tanpa berunding dengan pihak yang terbabit adalah tidak adil, dan melanggar kebebasan berekspresi parti politik.
Terdahulu, HARAPAN menggesa syarat tambahan baru itu ditarik semula serta-merta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan