Ahad, 29 April 2018

Nawawi: Lebih peluang pekerjaan, perniagaan untuk golongan muda di Langkawi

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
LANGKAWI: Antar fokus utama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad jika sekali lagi diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut adalah membantu golongan muda dengan mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka.
 
Beliau berkata, sasaran pihaknya mahu setiap anak muda di kawasan ini mendapat pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri bagi membantu mereka menjana pendapatan khususnya menjadi usahawan dalam sektor pelancongan.
 
Selain itu kata Nawawi, beliau juga akan meminta kerjasama daripada jabatan dan agensi-agensi kerajaan bagi membuka peluang kepada golongan muda ini memperoleh pekerjaan.
 
“Macam-macam kita boleh buat di Langkawi ini seperti golongan muda ini membuka perniagaan makanan berkonsepkan food truck, jadi ejen pelancongan, memberi perkhidmatan bot dan pelbagai lagi peluang boleh dicipta,” katanya dipetik Utusan Malaysia di sini hari ini.
 
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei depan, Nawawi yang juga penyandang kerusi Parlimen Langkawi bakal berhadapan saingan calon PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Zubir Ahmad daripada Pas.
 
Sementara itu, Nawawi berkata, selain memberi fokus kepada orang muda, pihaknya juga tidak melupakan golongan wanita di kawasan ini.
 
Beliau berkata, kaum wanita juga perlu diberikan peluang khususnya dalam bidang perniagaan secara atas talian bagi membantu mereka menjana pendapatan terutama melibatkan suri rumah.
 
“Selain itu, saya juga ingin menekankan supaya peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di kawasan ini dikembangkan daripada 2,000 peserta pada masa ini kepada 4,000 atau 6,000 peserta yang sekali gus memudahkan mereka menjalankan pelbagai perniagaan,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: