Oleh Athirah Hanapiah
LANGKAWI: Lebih 6,000 ahli akar umbi PPBM membantah pemilihan Mohd
Firdaus Ahmad sebagai calon parti untuk DUN Kuah pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) ini.
Ahli Jawatankuasa PPBM Langkawi, Mohd Ratu Mansor berkata, pemilihan
Firdaus tidak mengikut prosedur dalaman parti dan dipilih atas pengaruh
pihak lain.
Malah katanya, perwatakan peribadi Firdaus yang negatif juga menjadi pendorong kepada bantahan yang dibuat pada hari ini.
"Ahli akar umbi bahagian Langkawi merasa kecewa dengan pilihan yang
dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad memilih calon DUN Kuah dengan tidak
mengikut prosedur dan memilih calon yang mempunyai banyak perwatakan
negatif.
"Pemilihan ini (Firdaus) juga bukan dari dari akar umbi tapi hasil dari
perbincangan pihak yang mempengaruhi keputusan kepimpinan," katanya
dalam satu sidang media di Riverra Inn, di sini hari ini.
15 April lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad
mengumumkan Firdaus sebagai calon DUN Kuah yang akan bertanding pada PRU
ini.
Beliau sebelum itu mengumumkan calon partinya yang bakal bertanding di enam kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN di Kedah.
Antara calon PPBM lain adalah mantan Menteri Besar Kedah Datuk Seri
Mukhriz Mahathir yang akan bertanding di Parlimen Jerlun dan DUN Jitra.
Calon lain yang akan bertanding kerusi Parlimen adalah Datuk Ir
Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Wan Saiful Wan Jan (Pendang), Mohd
Taufik Yaacob (Baling) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (Jerai).
Calon DUN pula adalah Datuk A. Aziz Mohamud (Ayer Hitam), Halimahton
Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Anak Bukit),
Mohd Aizad Roslan (Bukit Lada),
Syed Fadzil Syed Embun (Kuala Nerang) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).
Mohd Nazari Abu Hassan (Jeneri), Abdul Rahim Kechik (Bayu), Mohd
Saffuan Sabari (Guar Chempedak), Mejar (B) Annuar Abd Hamid (Tanjung
Dawai), Datuk Azimi Daim (Bandar Baru), Johari Bulat (Air Hangat) dan
Firdaus sendiri di DUN Kuah.
Mengulas lanjut, Ratu berkata bantahan terhadap Firdaus telah dilakukan
sebelum ini namun kepimpinan tertinggi dikatakan tidak mengambil
apa-apa tindakan.
Justeru ujarnya, ahli akar umbi PPBM yang tidak berpuas hati dengan
pencalonan Firdaus akan memberikan masa kepada kepimpinan tertinggi
sehingga 28 April ini, dan akan mengambil tindakan susulan jika keadaan
masih tidak berubah.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan apakah tindakan susulan yang akan
diambil dan meminta media untuk menunggu sehingga tarikh tersebut tiba.
"Kita dah buat bantahan tapi tindakan tidak diambil jadi kita guna peluang ini untuk beritahu umum.
"Jika tindakan tidak diambil juga semasa penamaan calon atau tidak
tukar semasa penamaan calon, kita akan teruskan dengan plan yang lain,"
ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan