Sabtu, 28 April 2018

Abby mahu bantu Nik Omar sampai jadi MB

MALAYSIAKINI

   
PRU14 | Pelakon Abby Abadi dilihat tidak melepaskan peluang untuk sama-sama turun padang di Pusat Penamaan Calon di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kelantan hari ini.

Abby hadir menyatakan sokongan penuh buat Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bertanding sebagai calon AMANAH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Memberi reaksi kepada seorang daripada pengikutnya di Instagram, Abby berkata: “Mesti balik... bantu ustaz sampai boleh jadi menteri (besar).”

Bagi Abby, Nik Omar yang sah menjadi calon di DUN Cempaka ibarat membawa kemenangan pertama dan petanda untuk kejayaan yang seterusnya buat anak kedua bekas menteri besar Kelantan allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.



“Kemenangan pertama, Al Fadhil Ustaz Mohamad Nik Omar Nik Abdul Aziz dan layak bertanding di DUN Cempaka, Pengkalan Chepa, Kota Bharu Kelantan tanpa sebarang masalah teknikal,” katanya di Instagram.

Nik Omar yang merupakan abang kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung kenyataannya yang dilihat cenderung berpihak kepada HARAPAN.

Beliau juga sebelum ini menjelaskan beliau tidak akan bertanding sebagai calon Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana tidak mendapat restu ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Datang dari jauh

Berkongsi keterujaan itu, Abby mengiringi kenyataan yang dimuat naik bersama imej yang dirakam dengan Nik Omar.

“Dapat juga. Senyum (merujuk kepada gambar). Masa Ustaz Nik Omar mula sampai tadi, kami terus meluru ke ustaz, kenalkan diri... Ustaz kata Allahuakbar.

“Terima kasih sudi datang dari jauh... saya jawab, kami teruja ustaz. Dalam hati menangis terharu…,” katanya.

Nik Omar yang merupakan pengetua Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka itu bakal berdepan calon BN Mohamad Fareez Noor Amran dan calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood.

Susulan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan PAS telah memecat Nik Omar daripada parti itu.

Tiada ulasan: