KEADILAN DAILY
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan bahawa kepentingan Melayu dan agama Islam akan terus terpelihara di negeri itu.
Jaminan ini diulanginya sewaktu Putrajaya cuba menakut-nakutkan rakyat dengan cerita bohong mendakwa Pakatan Harapan akan menggadaikan kepentingan Melayu jika mentadbir negara.
“Saya mewakili kerajaan negeri bertekad apa jua kekuatan mahupun serangan kepada saya, saya tetap berdiri teguh mempertahankan umat Islam, orang Melayu dan institusi Islam di negeri ini,” katanya lapor Selangorkini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengusaha Sekolah Agama Rakyat Selangor, di Masjid Al-Syakirin, Gombak semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu cuba menakut-nakutkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menuduh pembangkang akan membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) apabila ia mentadbir negara.
Beliau juga mendakwa pembangkang mahu mengecilkan saiz pasukan polis dan tentera – satu dakwaan yang sudah dinafikan beberapa pemimpin Pakatan Harapan.
Sementara itu, Azmin yang juga timbalan presiden KEADILAN itu turut mengumumkan bahawa Selangor memperuntukkan RM213 juta untuk membangun dan menaik taraf masjid serta surau sejak empat tahun lalu.
Jumlah itu katanya, diguna untuk pembangunan empat masjid baru di Gombak iaitu Masjid Zakaria, Gombak Utara; Masjid Taman Tun Teja, Rawang; Masjid Ukay Perdana dan Masjid Kampung Klang Gate, Hulu Kelang.
“Kerajaan negeri hari ini melaksanakan dasar dan kebijakan bersifat ‘people-centric’ atau peduli rakyat serta menjamin kualiti hidup lebih baik, bersatu padu juga harmoni untuk masa depan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan