Ahad, 29 April 2018

‘Keluar mengundi lawan subahat SPR-ROS dengan Najib’


 Tian_Chua_ipd_Dang_Wangi


KEADILAN DAILY


Perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak yakin akan menang dalam pilihan raya kerana sikap berat sebelah Surhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata situasi itu sebenarnya jelas pada mata rakyat.

“Rakyat melihat dengan jelas bahawa pahlawan Bugis (sindiran kepada Najib) ini mempunyai pelbagai muslihat curang sebelum mula bertarung lagi,” katanya dalam kenyataan.

Tian yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Batu itu berkata perkara itu jelas berlaku bermula dengan cubaan untuk membubarkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia.

“Ia bermula dengan percubaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membubarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada 5 April 2018, sehari sebelum Parlimen Malaysia diumum dibubarkan.

“Muslihat kedua yang digunakan Najib adalah menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memilih 9 Mei 2018 yang jatuh pada hari Rabu sebagai tarikh membuang undi.

“SPR tidak memberikan sebarang alasan di sebalik keputusan itu yang diketahui ramai akan menyukarkan pengundi kerana ia jatuh pada hari bekerja.

“Arahan hanya membenarkan gambar presiden dan timbalan presiden parti yang bertanding sahaja pada bahan kempen kemudian dikeluarkan SPR atas alasan “menjaga keamanan”.

“SPR juga meletakkan syarat tambahan yang tidak membenarkan mana-mana calon dari luar kawasan untuk berkempen melainkan mereka memohon notis kebenaran 10 hari lebih awal.

“SPR menetapkan syarat ini kerana mereka tahu pemimpin-pemimpin tertinggi PH akan menjelajah ke seluruh negara untuk berkempen.

“Semua syarat ini ditetapkan SPR dengan satu tujuan sahaja, untuk menyusahkan kempen Harapan,” katanya.

Justeru, Tian Chua menyeru orang ramai agar keluar mengundi beramai-ramai untuk mengalahkan ‘juri’ pilihan raya yang berat sebelah itu.

“Sudah terang lagi bersuluh, wasit pertandingan ini awal-awal lagi curang apabila berat sebelah kepada BN.

“Rakyat perlu keluar mengundi beramai-ramai untuk menolak pahlawan Bugis yang bermain dengan penuh tipu muslihat ini,” katanya

Tiada ulasan: