KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 16
bekas ahli Umno untuk mencabar kesahihan parti berkenaan
kerana didakwa
melanggar perlembagaannya ekoran gagal mengadakan pemilihan parti di
semua peringkat hampir lima tahun.
Hakim Datuk Kamaludin Md. Said memutuskan demikian selepas membenarkan
bantahan awal dikemukakan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan
kebenaran semakan kehakiman difailkan individu terbabit.
Pada 20 April lalu, sebanyak 16 bekas ahli Umno mengemukakan permohonan
kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, antaranya bagi
mendapatkan perisytiharan parti itu tidak sah kerana didakwa melanggar
perlembagaannya.
Mereka menamakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan Setiausaha
Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh dalam kapasiti sebagai pegawai awam
dalam parti, sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan kebenaran itu, pemohon memohon beberapa perintah
perisytiharan berhubung kedudukan dan status Umno berikutan parti itu
didakwa melanggar perlembagaan parti.
Ini kerana pemilihan bagi semua peringkat iaitu Cawangan, Bahagian dan
Ahli Majlis Tertinggi Umno ditunda sebanyak dua kali iaitu melebih
tempoh maksimum 18 bulan seperti diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan