Jumaat, 27 April 2018

Bersih gesa calon pantau proses undi awal, pos

 
Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 berkata, mereka menuntut SPR memberi penjelasan jumlah pengundi pos di dalam negara dan bagaimana memastikan ketelusan proses pengundian pos dan undi.


Shahrul Aman Mohd Saari (tengah) meminta penjelasan SPR mengenai jumlah pengundi pos di dalam negara.


PETALING JAYA: Kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 menggesa calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) melakukan pemantauan ketat ke atas proses pengundian awal dan pos, bagi mengelakkan manipulasi dan penipuan yang boleh menjejaskan keputusan pada 9 Mei ini.

“Pada pilihan raya umum lepas, ada ramai calon yang keliru dan tidak menghantar paca (ejen pusat mengundi dan mengira undi) untuk memerhatikan proses undi awal dan undi pos,” kata Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari pada sidang media di ibu pejabat Bersih 2.0, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal diadakan pada 5 Mei ini, manakala sampul surat undi pos yang berisi kertas undi perlu tiba di pejabat pegawai pengurus masing-masing sebelum 5 petang 9 Mei ini.

Golongan yang layak mengundi secara pos adalah rakyat Malaysia bekerja di luar negara (permohonan ditutup 7 April) dan anggota polis, tentera, pekerja PRU, petugas media dan kakitangan 9 agensi dan jabatan kerajaan yang tidak boleh keluar mengundi pada 5 Mei ini.

Agensi dan jabatan kerajaan itu adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan (yang bekerja di hospital dan klinik kerajaan), polis bantuan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara (kakitangan di Pusat Transformasi Bandar).

Shahrul berkata, Bersih 2.0 turut mengesan 20 kerusi Parlimen yang mempunyai pengundi awal tertinggi.

Antaranya Parlimen Setiawangsa mempunyai 17,450 pengundi awal, Lumut (11,913), Tangga Batu (11,763), Lembah Pantai (10,285), Port Dickson (7,097), Pekan (6,838) dan Kluang (6,265).

Katanya, Bersih 2.0 turut menuntut SPR memberi penjelasan jumlah pengundi pos di dalam negara dan bagaimana memastikan ketelusan proses pengundian pos dan undi.

“Bersih 2.0 menuntut pemansuhan undi pos sejak 2007 lagi, manakala bagi proses undi awal, Bersih 2.0 menuntut pembaharuan dari segi pengiraan pada hari sama.

“Banyak keraguan terhadap ketelusan dan proses undi awal dan undi pos, khasnya mengenai keselamatan peti undi, kerahsiaan dan manipulasi kertas undi.”

Pada 19 April lalu, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perjalanan Pilihan Raya SPR, Mohd Sarif Hassan memberi jaminan proses pengundian pos akan dilakukan dengan telus dan cekap bagi mengelakkan penipuan serta penyalahgunaan.

“Pegawai Pengurus kawasan terbabit bertanggungjawab mengendali pengeluaran kertas undi pos dan ia dilakukan dengan kehadiran wakil calon bertanding.

“Pengundi pos yang layak akan menerima sampul surat coklat mengandungi 2 sampul surat kecil (merah jambu untuk kerusi DUN dan putih untuk kerusi Parlimen, kecuali pengundi di Wilayah Persekutuan yang hanya akan mengundi di kerusi Parlimen) bersama kertas undi.

“Pengundi perlu menandakan calon pilihan dan mengisi borang pengisytiharan identiti (Borang 2), selain mendapatkan tandatangan seorang saksi (rakan atau ahli keluarga yang berusia 21 tahun ke atas) untuk membuktikan mereka adalah pengundi yang layak.

“Mereka perlu memastikan kertas undi dan borang pengisytiharan identiti mengandungi nombor siri yang sama,” katanya kepada stesen radio Selangor FM, minggu lalu.

Tiada ulasan: