Sabtu, 28 April 2018

Tiga dron terbang dekat pusat penamaan calon dirampas

ANTARAPOS

Post Pic
 
SHAH ALAM: Polis Selangor merampas tiga dron diterbangkan berhampiran kawasan pusat penamaan calon dalam dua kejadian berasingan di Bandar Baru Bangi, dan Seksyen 19, Shah Alam, hari ini.
 
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata tiga lelaki yang menerbangkan dron berkenaan turut dipanggil memberi keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
 
"Dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 33 tahun ditahan di Pusat Penamaan Calon P108, Dewan Besar Tanjong MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), Seksyen 19, Shah Alam, lapor BH Online.
 
"Lelaki berusia 41 tahun itu mengusahakan penternakan kambing, manakala lelaki kedua (33 tahun) bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
 
"Seorang lagi lelaki berusia 48 tahun, ditahan di Pusat Penamaan Calon P102, Dewan Demense, Bandar Baru Bangi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
 
 
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.
 
Mazlan berkata, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan di Kajang, bekerja sebagai jurugambar bebas.
 
Beliau berkata, semua parti dan penyokong diingatkan supaya mematuhi larangan penerbangan dron di kawasan tertentu, kecuali dengan kebenaran Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
 
"Larangan ini dibuat berdasarkan faktor keselamatan semua pihak. Kita tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini, jadi patuhi arahan pihak polis," katanya.
 
Kes disiasat bawah Peraturan 143 (1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
 
 

Tiada ulasan: