Khamis, 26 April 2018

Yee Kew gesa penyandang kecewa tak dicalonkan beritahu PKR

 
Calon PKR di Parlimen Wangsa Maju itu berkata, beliau tahu isu semasa di kawasan itu dan mempunyai strategi untuk menyelesaikan isu pengundi hantu.


Tan Yee Kew yang dicalonkan di kerusi Parlimen Wangsa Maju berkata, beliau melakukan banyak aktiviti bersama rakyat di kawasan itu. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Calon PKR di Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Tan Yee Kew meminta penyandang kerusi itu, Datuk Dr Tan Kee Kwong menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada kepimpinan parti.

Yee Kew berkata, Kee Kwong berhak menyuarakan kekecewaannya selepas digugurkan untuk mempertahankan kerusi itu.

Yee Kew, bekas pemimpin MCA yang kini bendahari agung PKR berkata, beliau sudah biasa dengan kawasan itu kerana menganjurkan aktiviti 2 kali sebulan di Wangsa Maju, sejak setahun lepas.
Katanya, beliau tahu isu semasa di kawasan itu.

“Saya sudah mengenal pasti isu-isu itu dan mempunyai pengetahuan menyeluruh tentang isu pengundi hantu di Wangsa Maju.

“Saya ada strategi untuk mengawalnya kerana sudah melakukan banyak aktiviti dengan masyarakat di sana,” katanya.

Kee Kwong sebelum ini mempertikaikan keputusan PKR menggugurkannya daripada kerusi itu yang dimenanginya dengan majoriti besar pada pilihan raya umum lalu.

Beliau menyuarakan kekecewaannya kerana sudah berkhidmat di Wangsa Maju selama 8 tahun, sebelum bertanding pada 2013.

Beliau turut membangkitkan ceramah di Danau Kota pada Ahad lalu yang dihadiri ribuan orang, isyarat pengundi menyokongnya di kerusi itu.

“Sokongan macam mana lagi yang kepimpinan mahu? Saya ada sokongan kuat daripada pengundi Wangsa Maju.”

Beliau dilaporkan berkata, PKR mungkin kehilangan kerusi itu kerana meletakkan calon baru.

Tiada ulasan: