Khamis, 26 April 2018

Rais Hussin pilih tidak bertanding

 
Ketua strategi PPBM itu berkata demikian sehari selepas bantahan beberapa pemimpin tempatan PKR terhadap calon 'payung terjun'.


Ketua Biro Strategi PPBM, Rais Hussin. (Gambar Facebook)


TAIPING: Ketua PPBM Klang Datuk Rais Hussin tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah pada pilihan raya 9 Mei ini.

Pemimpin kanan PPBM yang juga ketua Biro Strategi parti itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada PRU ini memandangkan terdapat “banyak lagi kerja” lain untuk dilakukan.

“Saya tegaskan, keputusan tidak bertanding tidak ada kaitan dengan PPBM atau mana-mana parti lain. Sekiranya saya bertanding, saya perlu bekerja di kawasan itu. Sekiranya tidak bertanding, saya boleh bekerja di mana-mana kawasan,” katanya kepada FMT.

Calon Barisan Nasional (BN) di Tapah ialah Datuk M Saravanan dari MIC.

Pada pilihan raya lalu, Saravanan menewaskan calon PKR Vasantha Kumar Krishnan dengan majoriti hampir 8,000.

Semalam, beberapa cabang PKR di Perak termasuk di Tapah membantah tindakan PPBM menggunakan logo parti itu untuk calonnya.

Ketua PKR Tapah Adanan Talib berkata penyertaan PPBM dalam Pakatan Harapan (PH) menyebabkan “hak” PKR dirampas apabila pencalonan terpaksa diserahkan kepada parti itu, yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara Id Azalan Shah Banyamin dari PKR Lenggong berkata 5 kerusi Parlimen dan 5 kerusi negeri di Perak sepatutnya diberikan kepada PKR, tetapi diserahkan kepada PPBM iaitu di Lumut, Tapah, Gerik, Bukit Chandan dan Bota.

Tiada ulasan: