Ahad, 29 April 2018

Hadi: Kes saman Sarawak Report mula bicara Isnin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kes saman fitnah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, akan mula bicara pada Isnin di London.
 
“Keputusan mungkin beberapa hari selepas itu…kita dah hantar segala dokumen melalui peguam kita di sini dan peluang kita menang: 80%,” katanya di satu ceramah di Pasar Binjai Rendah, Marang semalam.
 
Hadi turut memaklumkan PAS menggunakan khidmat peguam yang pernah menguruskan kes saman terhadap satu akhbar British pada 2007 yang menuduh beliau mempunyai kaitan pengganas.
 
“Kita bicara di mahkamah di England dan kita menang dan akhbar itu kena bayar kepada saya RM400,000,” katanya lapor FMT.
 
Menurut Hadi, belanja kewangan PAS untuk kes saman terhadap Sarawak Report mencecah RM1 juta.
 
“Ada orang PAS yang kaya-kaya yang tolong kita bayar dulu, selepas itu kita kutip derma balik untuk bayar,” katanya.
 
Hadi memfailkan saman di Mahkamah Tinggi London pada April 2017 susulan artikel yang ditulis Clare pada 6 Ogos 2016.
 
Sarawak Report menaikkan laporan yang mendakwa RM90 juta “dikatakan” dimasukkan ke dalam akaun pimpinan atasan PAS untuk “menarik” mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional.
 
 

Tiada ulasan: