Jumaat, 13 April 2018

Mahfuz bukan calon 'basuh kaki' - Amanah Kedah

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pencalonan Datuk Mahfuz Omar sebagai calon Amanah kerusi Parlimen Pokok Sena disokong teguh semua peringkat meskipun sebelum ini dilaporkan ditolak akar umbi kawasan. 
 
Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, hanya sebilangan kecil sahaja yang menolak Mahfuz sebagai penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, ketika beliau belum secara rasmi bersama Amanah pada masa itu. 
 
"Semua peringkat solid, segelintir sahaja. Yang dulu buat sidang media dahulu segelintir sahaja. Jadi majoriti daripada dulu pun solid, bersama dengan Datuk Mahfuz. 
 
"Walaupun pada masa itu dia tidak menyatakan pendirian parti mana tetapi dari segi organisasi politik dan sebagainya semua (peringkat) bersama dengan dia, segelintir sahaja (yang tidak sokong)," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.  
 
Tegasnya, Naib Presiden Amanah itu bukan calon ‘basuh kaki’ yang menyertai parti serpihan PAS berkenaan hanya semata-mata kerana mahu diberikan ruang untuk bertanding pada PRU14 ini. 
 
Jelasnya, jiwa raga Mahfuz sudah lama diketahui bersama perjuangan PH sebelum secara rasmi menyertai Amanah. 
 
"Dia ahli Parlimen situ dah lama. Bukan sebelum ini dia tidak sokong, kemudian dah masuk kata sokong dan terus ahli jadi calon. Tidak. Dia telah menyokong PH seawal PH lagi. Jiwa raga dia telah bersama dengan PH, bersama dengan rakyat nakkan perubahan. Cuma, atas dasar strategi, dia masih tidak nyatakan pendirian dimana pada masa itu,” tambahnya. 
 
Seperti dijangka, Mahfuz akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena, namun kali ini atas tiket Amanah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 
 
Pengumuman itu dibuat Presiden Amanah, Mohamad Sabu, pada majlis pengumuman calon parti itu di Kedah di Hutan Kampung dekat sini, malam tadi.
 
Mahfuz mula menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena pada 1999 sebelum kalah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Ibrahim pada 2004, namun memenangi semula kerusi itu pada PRU12 dan PRU13
 
Disebalik pencalonan Mahfuz semalam, beliau sebelum ini dilaporkan ditolak Amanah Kedah bertanding di kerusi itu pada PRU14.
 
Menurut sumber, sekiranya Mahfuz berdegil untuk bertanding pada PRU akan datang bagi kerusi Parlimen Pokok Sena, Amanah tetap membantah tindakan itu.
 
Sambil menolak dakwaan itu, Ismail juga berkata dengan pencalonan Mahfuz sebagai calon Pokok Sena secara rasmi mewakili Amanah maka jentera gabungan pembangkang itu di Kedah juga kini sudah bersedia sepenuhnya. 
 
“Dia tambah kekuatan sebab sebelum ini sebahagian daripada jentera yang tidak mahu bergerak itu sebab dia pertikai status keahlian dia dengan PH. 
 
“Jadi sekarang ini dia dah masuk PH maka status pertikaian dia tu terurai. Dengan sendirinya jentera pun mengambil tempat masing-masing dengan strategi masing-masing,” ujarnya lanjut. 
 
Mahfuz menyertai PAS sejak 34 tahun lalu tetapi pada 31 Disember 2017, beliau mengumumkan keluar daripada PAS.
 
Bekas Naib Presiden PAS itu memberi alasan kegagalannya menjadi "penghubung" antara gabungan pembangkang dan PAS sebagai punca beliau mengambil keputusan itu.
 
 

Tiada ulasan: