Jumaat, 13 April 2018

PRU14: Zainal Abidin beri laluan kepada muka baru

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGETOWN: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bagi memberi laluan kepada muka baru.
 
Beliau berkata, hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sejak dua tahun lalu.
 
Katanya, beliau juga sudah memperkenalkan calon baru kepada Perdana Menteri yang akan menggantikan kerusi pernah ditandinginya di Parlimen Nibong Tebal pada pilihan raya lalu.
 
"Saya akan terus memberikan sepenuh usaha dan tumpuan untuk memimpin Jentera Pilihan Raya Umno Pulau Pinang untuk mempertahankan tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN sedia ada, selain menambah dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN seperti disasarkan," katanya.
 
Zainal Abidin yang menyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sejak 2011 adalah Ahli Parlimen Nibong Tebal pada 2004, sebelum tewas kepada calon PKR pada PRU-12 dan PRU-13.
 
Sementara itu, Zainal Abidin berkata senarai calon yang sudah dimuktamadkan akan diumumkan Najib yang juga Pengerusi BN, dalam tempoh terdekat.
 
"Umno akan menampilkan lima calon Parlimen dan 15 calon DUN, manakala 8 calon Parlimen dan 25 calon DUN lain akan diwakili calon parti komponen daripada GERAKAN, MCA dan MIC," katanya.
 
Untuk rekod, Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN.
 
 

Tiada ulasan: