KOTA BHARU: Amanah Kelantan dijangka memilih Naib Presiden Amanah atau
atau anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat iaitu Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon menteri besar.
Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah berkata,
setakat ini belum ada perbincangan rasmi serta keputusan muktamad
sekiranya gabungan pembangkang PKR berjaya menawan negeri ini dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Calon Menteri Besar kita tidak bincang lagi, kalau ikut Penasihat
DAP, Lim Kit Siang dulu, beliau kata Husam sebagai Menteri Besar di
negeri ini. Namun, Husam pula pernah berkata di hadapan rakyat sekiranya
Nik Omar bertanding (tiket Amanah) dan menang, beliau akan diangkat
sebagai Menteri Besar.
“Ini supaya Nik Omar boleh menyambung legasi Tok Guru di negeri ini.
Walau bagaimanapun, keputusan itu akan diputuskan oleh Tun Dr. Mahathir
Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan,” jelasnya dalam sidang akhbar,
di sini hari ini.
Menurut Wan Abd. Rahim, desas-desus yang mengatakan anak kedua
Allahyarham Nik Abdul Aziz iaitu Nik Omar bakal menyertai Amanah adalah
sahih, bukan khabar angin.
“Berita itu betul dan esok kita akan memberikan jawapan muktamad. Ini
kerana, fikrah dan pemikiran beliau sudah selari dengan kita, namun ada
masalah teknikal berkaitan keluarga yang sedang diselesaikan.
“InsyaAllah, halangan daripada pihak keluarga beliau boleh diatasi
kerana Husam sendiri sudah lama pernah memberikan tawaran secara terbuka
kepada Nik Omar untuk menyertai Amanah,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan