KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto khusus
kepada golongan muda yang mencakupi segala visi dan keperluan kumpulan
itu selaras dengan perkembangan semasa terutama membabitkan tekanan kos
hidup serta cabaran membina keluarga.
Atas rasa tanggungjawab untuk membantu golongan itu, Pengerusi Pemuda
BN, Khairy Jamaluddin menjelaskan, sebab itu beliau bersama jentera
pemuda parti melihat perlunya ada manifesto yang difokuskan kepada
orang muda yang dilancarkan dengan nama Jaminan Orang Muda.
Semasa membentangkan manifesto berkenaan, Khairy menyenaraikan lapan
jaminan diberikan iaitu menjamin pekerjaan dan latihan orang muda;
meningkatkan pendapatan dan kemahiran pekerja muda; memperkasa ekonomi
belia luar bandar dan memudahkan usahawan muda mendapat bantuan;
meringankan beban keluarga muda; menyediakan kehidupan berkualiti;
memastikan peluang untuk segenap segmen dan mengangkat idea generasi
Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Mungkin ada yang bertanya kenapa sekarang dan bukannya lima tahun
dulu. Jawapannya, kami sudah buat sebanyak mungkin yang kami terdaya
untuk orang muda Malaysia, maka tidak salah rasanya jika ingin
memperbaharui khidmat bakti ini untuk lima tahun akan datang.
“Hujah menyatakan bila tiba pilihan raya baru hendak membuat janji
adalah cetek dan dangkal kerana pada masa inilah kita memperbaharui visi
dan perancangan masa depan,” katanya dipetik Utusan Online.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan manifesto tersebut di
hadapan kira-kira 5,000 pemuda yang hadir ke Dewan Merdeka, Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.
Kata Khairy, beliau sendiri telah bertemu dengan Perdana Menteri yang
juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan amanat
serta sokongan yang juga mahukan Pemuda BN tampil merencanakan masa
hadapan Malaysia serta keperluan golongan muda.
Sebagai Menteri Belia dan Sukan katanya, dia amat memahami keperluan
orang muda dan seandainya sudah berpuas hati dengan pencapaian yang
telah dikecapi, Khairy menganggap beliau bukan menteri yang baik.
“Saya berada bukan di sini untuk sembang kosong, menjanjikan anda bulan
dan bintang atau janji madu beracun yang tidak mungkin dapat
dilaksanakan.
“Tetapi apa yang telah kami bentangkan pada hari ini adalah jaminan
yang boleh kami laksanakan. Saya telah berjumpa Perdana Menteri dan
beliau berkata, saya boleh mewakili BN untuk memberi lapan jaminan ini
kepada orang muda,” katanya.
Antara yang diumumkan oleh Khairy ialah mahu meningkatkan gaji pekerja,
memudahkan golongan muda mendirikan dan membina rumah tangga, mencipta
peluang pekerjaan di kawasan luar bandar serta menyediakan peluang
kepada orang kurang upaya (OKU) dan golongan tersisih mendapat peluang
bagi memperbaiki diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan