Rabu, 11 April 2018

Majikan: Mengundi hari kerja beri kesan pada produktiviti

 
Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata majikan perlu patuhi undang-undang dengan membenarkan pekerja membuang undi.

 


PETALING JAYA: Mengadakan piihan raya umum ke-14 pada pertengahan minggu pasti memberi kesan pada produktiviti di syarikat-syarikat, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) hari ini.

Pengarah Eksekutif Datuk Shamsuddin Bardan berkata pekerja perlukan beberapa jam untuk membuang undi jika berdekatan rumah atau sepenuh hari jika perlu keluar bandar untuk membuang undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan hari penamaan akan diadakan pada Sabtu, 28 April, dan hari pengundian pada Rabu, 9 Mei.

“Produktiviti boleh berkurangan sehingga 30% jika sebahagian besar pekerja mengambil cuti atau memohon cuti tahunan,” katanya.

Shamsuddin menambah kakitangan tidak boleh dihalang membuang undi dan majikan mesti membenarkan mereka menjalankan tanggungjawab itu.

“Undang-undang menyatakan kakitangan berhak membuang undi pada hari mengundi.”

Beliau merujuk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di mana majikan hendaklah membenarkan suatu tempoh munasabah bagi pekerja untuk mengundi tanpa potongan atau penalti.

Majikan yang enggan membenarkan pengundi melaksanakan hak mereka boleh dikenakan denda RM500 atau penjara sehingga 6 bulan.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional berkata hari mengundi di hari kerja tidak menjadi masalah.

“Menteri pendidikan mengumumkan sekolah akan ditutup, jadi tiada masalah bagi murid-murid,” kata Pengerusi Datuk Mohamad Ali Hassan, merujuk kepada penggunaan sekolah sebagai pusat mengundi.

Susulan pengumuman tarikh hari pengundian jatuh pada hari kerja, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua sekolah akan diberi cuti khas sempena hari mengundi.

Tiada ulasan: