Rabu, 25 April 2018

Kayveas dipecat serta-merta, gunakan parti untuk agenda peribadi – myPPP

Kasthuri Jeevendran
MGF17042018_SidangMedia Khas MyPPP
Tan Sri M. Kayveas. foto FAREEZ FADZIL.


KUALA LUMPUR – Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas dilucutkan keahlian dan jawatan berkuatkuasa serta-merta berikutan ‘tindak tanduk’ beliau yang dipercayai telah mempergunakan parti ini untuk agenda peribadinya.

Menurut Setiausaha Agung myPPP, Datuk K. Mohan, Kayveas didakwa telah mempergunakan kedudukan beliau sebagai presiden untuk memuktamadkan pelbagai keputusan berbanding berbincang dengan kepimpinan tertinggi parti.

Tindakan beliau itu ternyata melanggar perlembagaan parti.

Antaranya  membuat keputusan untuk melepaskan empat buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands walaupun tidak mendapat mandat daripada Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dengan ini, kami sebulat suara dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi myPPP membuat keputusan untuk melucutkan kesemua jawatan dan keanggotaan dalam parti beliau berkuatkuasa serta- merta.

“Demi masa depan parti, kita terpaksa mengambil keputusan sedemikian. Beliau boleh mengemukakan sebarang rayuan dalam tempoh 14 dari sekarang untuk dipertimbangkan,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Mohan mendakwa, antara ‘kesalahan’ yang telah dilakukan oleh Kayveas termasuk membuat pertukaran kerusi tanpa pengetahuan parti demi memastikan dirinya dapat bertanding di Cameron Highlands.

“Keseluruhan jentera parti juga terpaksa bekerja di Cameron Highlands kerana agenda beliau. Beliau telah ‘melebihkan’ keinginan belaiu daripada melihat apa yang diperlukan oleh parti.

“Dengan kami, beliau dakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang membuat keputusan agar dirinya bekerja di Cameron Highlands tetapi hakikatnya kami dapat tahu baru-baru ini, Najib tidak pernah memberikan kata putus sebegitu.

“Kerusi Cameron Highlands memang milik MIC sejak dulu dan Najib sedia maklum tetapi Kayveas telah mempergunakan kedudukan beliau sebagai presiden untuk membuat keputusan tentang kerusi tersebut tanpa makluman parti.

“Kerana isu ini juga, sudah ada aura-ura mengatakan myPPP akan keluar dari komponen BN juga.
Krisis berpanjangan seperti ini telah mengeruhkan hubungan kita dengan komponen BN, sedangkan ketika ini adalah masa penting untuk pastikan kemenangan pada PRU,” ujarnya.

Sementara itu, Kayveas mendakwa telah menghantar sepucuk surat kepada kepimpinan tertinggi myPPP yang mengatakan beliau meletakkan semua jawatannya termasuk jawatan Presiden berkuatkuasa sejak 23 April lepas.

Bagaimanapun, dakwa Mohan, pihaknya tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada Kayveas yang sudah memegang tampuk pemerintahan myPPP sejak 25 tahun lepas. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: