Rabu, 25 April 2018

Sivarrajh perlu batalkan keahlian salah satu parti – NGO

Kumara Sabapatty
Plaindren Ramanathan bercakap kepada media selepas mengemukakan bukti terpenting kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysian (ROS) berhubung seorang individu mempunyai dua parti keahlian di Pejabat ROS, Menara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Datuk C. Sivarraajh digesa supaya membatalkan segera keahliannya dalam myPPP yang kini menjadi kontroversi.

Yang Dipertua Pertubuhan Pencegahan Dadah, jenayah dan Keselamatan Pendidikan Malaysia (PDJKPM), Plaindren Ramananthan mahu pemimpin yang kini dipilih sebagai calon BN di Cameron Highlands menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 itu segera bertindak.

“Semasa berada di Cameron Highlands pada 19 April lalu, saya menerima aduan sebahagian besar penduduk Cameron Highlands yang mendakwa  calon itu mempunyai keahlian dalam dua parti komponen BN. Mereka memberikan bukti dokumen.

“Saya segera membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada keesokan hari dan kini tampil ke Pendaftar Pertubuhan (RoS) Jalan Duta untuk tindakan siasatan dalaman.

“Pegawai RoS memaklumkan ia adalah satu kesalahan menjadi ahli dalam dua parti dan berjanji akan siasat perkara ini secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di pekarangan RoS di sini.

Menurut Plaindran, mengikut dokumen yang dimilikinya, Sivarrajh menjadi ahli myPPP pada Jun 2003 dan status terkini keahliannya dalam myPPP masih aktif dan belum terbatal.

Beliau percaya MIC juga mendapat tahu isu itu baru-baru ini dan sedang menyelesaikannya.

“Saya juga mahu menghantar surat kepada Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam supaya beliau bertindak ke atas perkara ini bagi mengelak imej parti dan BN tercalar.

“Saya juga mahu Sivarraajh tampil segera mengambil keputusan sama ada hendak membatalkan keahlian myPPP atau mahu membiarkan situasi bertambah kritikal.

“Tidak kisahlah sekiranya dia terlupa atau terlepas pandang tentang keahlian itu, tapi sila padamkan “tanda hitam” yang terkena pada diri sendiri,” ujar beliau.

Plendran juga berkata, dia juga akan mengemukakan segala aduan dan laporan RoS hari ini kepada Cawangan Khas Bukit Aman supaya ahli politik itu disiasat.

“Saya juga akan menyaman Sivarraajh di mahkamah atas sebagai tindakan terakhir dalam hal ini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: