Jumaat, 20 April 2018

Jaafar Samsudin kembali sertai Amanah lepas 'berbual' dengan Mat Sabu

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas pengarah biro pilihan raya Amanah Selangor, Jaafar Samsudin yang bertindak keluar parti selepas tidak berpuas hati dengan presidennya, Mohamad Sabu, kembali menyertai parti itu hari ini.
 
Keputusan menyertai Amanah kembali dibuat Jaafar selepas mengadakan pertemuan dengan Mohamad atau Mat Sabu, awal pagi tadi, di sebuah hotel di Shah Alam.
 
Jaafar atau Cikgu Jaafar pada 18 April lalu, meletakkan jawatan selepas Mohamad diura-urakan akan bertanding di Kota Raja, bahagian yang dipimpinnya.
 
Jaafar mendakwa anggota akar umbi Amanah mahukan calon tempatan dan Mohamad sepatutnya bertemu beliau terlebih dahulu jika mahu bertanding di situ.
 
“Insya-Allah saya akan menghantar surat permohonan kembali ke dalam AMANAH selewat-lewatnya hari ini,” katanya.
 
Sementara itu, Mat Sabu yang ditemui pemberita menyifatkan tindakan Jaafar keluar parti sebelum ini adalah perkara biasa dalam dunia politik.
 
“Bagi saya rasa tak puas hati tentang perjalanan kerajaan, majlis itu perkara biasa, yang perlu diutarakan setiap masa.
 
“Kalau semua kita puas hati peliklah, mesti ada perkara yang tidak sempurna dan ini teguran Cikgu Jaafar yang perlu diambil perhatian lebih sebab Selangor ini banyak peruntukan cumanya penyelarasan kawasan tumpuan itu yang perlu diutamakan.
 
“Tapi ini tindakan normal dalam politik, saya ini dah lebih 40 tahun (dalam politik) jadi tindakan itu biasa bagi manusia yang dia bekerja dan bukan duduk saja,” katanya.
 
Malah Mat Sabu juga berkata apa yang kepada partinya hari ini juga pernah berlaku kepada Umno sebelum ini.
 
“Bagi saya ini kritikan biasa, bukan satu perkara yang mengkhianati parti ke tak ada.
 
“Dalam Umno dulu (Tun) Musa Hitam letak jawatan kemudian kembali dan banyak lagilah dalam sejarah politik yang kita lihat tindakan biasa melainkan kalau dia bawa lari RM5 kita duit Amanah, itu lain,” katanya.
 
Jaafar menyertai PAS pada 1998 dan memegang jawatan pengarah pilihan raya PAS Selangor dari 2002 hingga 2015.
 
Beliau kemudian meninggalkan PAS pada 2016 untuk menyertai Amanah.
 
Sebelum itu, Jaafar pernah menjadi ahli Umno dan Semangat 46 serta pernah bekerja bawah bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Harun Idris.
 
 

Tiada ulasan: