Jumaat, 20 April 2018

16 ahli Umno mohon mahkamah semak status sah parti

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seramai 16 ahli Umno dari lima negeri memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013.
 
Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan hari ini, kumpulan itu mendakwa kelulusan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk Umno menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.
 
Sehubungan itu, kumpulan yang diketuai Ketua Umno Cawangan Seri Merpati Pandan Indah, Salihudin Ahmad Khalid, itu memohon perintah mahkamah mengisytiharkan kelulusan RoS itu sebagai tidak sah.
 
“Di bawah perlembagaan kami, pemilihan parti hanya boleh dilanjutkan sehingga 54 bulan,” katanya sambil menambah pemilihan Umno terakhir diadakan pada Oktober 2013.
 
Mereka turut memohon mahkamah memerintahkan Umno dibubarkan mulai hari ini kerana mendakwa parti itu kini “haram”.
 
Enam belas ahli itu memfailkan kes itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dengan menamakan JPPM dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai responden.
 
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini menjelaskan RoS bertarikh 31 Oktober 2017 yang dialamatkan kepada pejabat Setiausaha Agung Umno membenarkan pemilihan Majlis Tertinggi diadakan selewat-lewatnya pada 19 April tahun depan.
 
Beliau berkata RoS diberi kuasa mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan kuasa tambahan mengikut Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966 yang berkuat kuasa pada 10 Jun 1988.
 
Justeru ujarnya, tidak timbul isu Umno adalah parti haram dan tidak sah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei depan.
 
 

Tiada ulasan: