Jumaat, 20 April 2018

[KEMASKINI] PH akui kurang calon wanita pada PRU14

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) gagal mencapai sasarannya yang mahu meletakkan 30% calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Perkara itu diakui Ketua Wanitanya Zuraida Kamaruddin, bahawa PH kekurangan calon wanita yang berpotensi untuk mewakili PH dalam pilihan raya kali ini.
 
"Walaupun agenda 30% yang kita cuba untuk buat tapi saya kesal untuk katakan kemungkinan kita tidak dapat capai lagi sasaran 30% itu namun demikian ianya akan ada satu peningkatan yang lebih besar dari PRU13 dengan PRU14.
 
"Orang perempuan masih lagi kurang untuk menceburkan diri dalam dunia politik jadi kita mengambil masa untuk 'groom' mereka dan melatih mereka ke tahap boleh menjadi seorang wakil rakyat atau ahli politik yang baik," katanya dalam satu sidang media di ibu bejabat PKR, hari ini.
 
Zuraida sebelum ini mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita diketengahkan kepimpinan tertinggi bagi PRU tahun ini.
 
Katanya, wanita perlu diberi peluang untuk menerajui kepimpinan dan setiap parti komponen dalam pakatan itu telah pun mempunyai senarai calon yang berpotensi.  
 
Bahkan, Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini juga mahu mahu satu polisi dilaksanakan untuk mewajarkan 30 peratus pembabitan wanita termasuklah menjadi perdana menteri.
 
Sementara itu Zuraida mengesahkan parti itu masih belum memuktamadkan jumlah calon wanita PH yang bakal bertanding di setiap negeri pada PRU ini.
 
"Setakat ini kita belum ada lagi angka yang muktamad, kita masih dalam proses untuk membuat senarai terakhir.
 
"Tetapi apa pun di peringkat wanita PH semua parti gabungan PH meletakkan ramai lagi cadangan-cadangan nama wanita.
 
"Saya tidak pasti bilangan (kerusi) kerana angka-angkanya berbeza dengan parti-parti yang lain," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: