SHAH ALAM: Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd
Rani yang digantung tauliahnya sebelum in, diberi kebenaran semula untuk
terus mengajar di negeri itu.
Dalam surat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kepada Ahmad Dusuki,
beliau dibenarkan untuk mengajar agama Islam atau apa-apa mengenai agama
Islam di Selangor seperti yang ditetapkan bawah Seksyen 118 Enakmen
Pentadbiran agama Islam 2003 pindaan 2015.
Namun Ahmad Dusuki diingatkan untuk mengelak daripada membuat sebarang
kenyataan yang boleh membawa kepada 'taasub' dan kebencian secara
langsung atau tidak langsung yang melibatkan umat Islam.
"Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor yang bersidang pada
10 April telah memutuskan bahawa tuan (Ahmad Dusuki) dibenarkan untuk
terus memegang tauliah mengajar agama Islam atau apa-apa mengenai agama
Islam di dalam negeri Selangor.
"Bagaimanapun tuan adalah diingatkan agar sentiasa mengelakkan diri
dari membuat sebarang pengataan yang boleh membawa kepada ‘taasub’ dan
‘kebencian’ secara langsung atau tidak langsung melibatkan sesama umat
Islam seperti dinyatakan di Para 17 (c), (d) dan Para 23
Peraturan-peratuan tauliah negeri Selangor 2008," menurut surat itu.
Surat berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Mais Mohd Shahzihan Ahmad.
Surat itu turut dikongsi Ahmad Dusuki di laman Facebooknya.
Penggantungan Ahmad Dusuki itu dibuat Mais susulan daripada bacaan
doanya, pada Program Munajat dan Ceramah Pas Selangor pada Sabtu lalu di
Shah Alam yang dianggap mengundang kontroversi daripada banyak pihak.
Terdahulu media melaporkan doa kontroversi Ahmad Dusuki yang antara
lain disebut dalam doanya: “Kami memohon untuk mengadu pada kamu ya
Allah betapa lamanya bumi Selangor ini dijajah dengan suasana yang tidak
cara agama ya Allah”.
Sementara itu, selepas menerima surat berkenaan, Ahmad Dusuki kemudian
memaklumkan perkara berkenaan kepada orang ramai melalui Facebook Live
bagi mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Mais.
Ahmad Dusuki turut menjelaskan mengenai tindakannya yang berdiam diri
selepas menerima surat daripada Mais berhubung penggantungannya.
Jelasnya, beliau mengambil pendekatan untuk bertemu dengan pihak
jabatan agama Islam bagi mendapat penjelasan serta memberitahu perkara
sebenar berhubung doanya itu.
"Bila dipanggil dan diserahkan tentang surat penggantungan tauliah dan
sebab digantung, antara isunya kerana disebabkan laporan yang dilakukan
beberapa individu di kalangan ustaz terhadap doa yang saya baca di bumi
Selangor ini.
"Isunya kerana saya telah buat kesilapan dalam saya berdoa, saya
sendiri telah menterjemah doa yang diadaptasi dari qunut Nazilah yang
bila diterjemah kemudian difahami dengan tak betul di kalangan media
terutama media yang mengambil kesempatan menghentam dan mencari jalan
untuk memusnahkan yang disebut kekuatan kita bersama ini.
"Bila jumpa saya telah terangkan pada mereka kenapa keadaan saya baca
doa (itu) dan sebagainya. Saya sebut kerana (ia) berdasarkan kepada
suasana yang berlaku di kalangan masyarakat Islam pada hari ini.
"Saya jelas panjang lebar pada mereka," kata Ahmad Dusuki yang dipetik daripada rakaman video Live berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan