Rabu, 4 Oktober 2017

Tak perlu suruh dedah maklumat ancaman pesta arak, kata polis

 
Ketua polis negara bertegas larangan Better Beer Festival adalah berdasarkan ancaman sebenar dan bukan atas sensitiviti agama.


fuzi-beer

PETALING JAYA: Polis hari ini mempertahankan keputusan tidak membenarkan “Better Beer Festival”, dengan berkata ia berdasarkan ancaman sebenar terhadap acara itu dan tiada kena mengena dengan sensitiviti agama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun polis menerima maklumat mengenai wujudnya perancangan mensabotaj pesta arak itu, yang menerima bantahan beberapa pihak khususnya PAS.

“Umum juga sedia maklum bahawa penganjuran festival yang sama pada tahun-tahun lalu tidak pernah disekat kerana tidak wujud maklumat mengenai ancaman sedemikian sebelum ini,” kata Fuzi dalam kenyataan.

“Bantahan yang dibuat pada tahun ini tidak ada sangkut paut dengan sensitiviti keagamaan, perkauman ataupun desakan politik,” katanya.

Beberapa pihak mempertikaikan keputusan polis melarang pesta tersebut, yang sebelum ini terpaksa dibatalkan selepas dinafikan permit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bulan lalu.

DBKL dilaporkan berkata keputusan itu dibuat atas “sensitiviti politik”.

Fuzi mempertikaikan desakan supaya polis mendedahkan butir lanjut mengenai ancaman terhadap pesta tersebut.

Menurutnya, polis tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu agar maklumat keselamatan, menyifatkan mereka “daif” tentang keperluan menjaga kerahsiaan operasi.

Tegasnya, polis juga tidak akan menggadaikan keselamatan rakyat dan harta benda awam hanya disebabkan wujud tekanan daripada pihak-pihak berkepentingan.

“Keputusan yang diambil adalah perlu kerana kita semua harus faham bahawa memerangi ancaman militan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Kuasa-kuasa besar dunia yang memiliki kecanggihan teknologi sekalipun gagal menyekat negara mereka dari terus menjadi sasaran militan.

“Apa yang jelas, tindakan pencegahan lebih berkesan dari membiarkan jiwa terkorban dahulu sebelum tindakan eksekutif diambil,” katanya.

Tiada ulasan: