Rabu, 4 Oktober 2017

Ali Hamsa tiada masalah menteri gesa guru sertai Umno

Ali Hamsa enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai larangan penjawat awam berpolitik.

 
Ali-Hamsa_new_600


PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa berkata beliau tiada masalah dengan tindakan Menteri Datuk Seri Tengu Adnan Tengku Mansor menggesa para guru menyertai Umno dalam satu pertandingan bertemakan Umno di sebuah sekolah di Putrajaya.

“Saya tiada masalah dalam hal itu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas majlis Seminar Tahunan Kesihatan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) di Dewan Seri Endon, Puspantapuri hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai larangan penjawat awam berpolitik.

“Takpalah. Terima kasih,” katanya.

Pemberita cuba mendapatkan respon beliau selepas para guru-guru dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1) didapati mengambil bahagian dalam satu pertandingan bertemakan “Umno dan Kemerdekaan #Negaraku” baru-baru ini.

Dalam acara itu, bendera Umno dipasang di seluruh sekolah, dan para murid juga mengibarkan bendera Umno dan menyanyikan lagu parti. Pada satu tahap sepanduk “Hidup Umno, Hidup Melayu. Dulu, Kini dan Selamanya” dinaikkan di pentas.

Tengku Adnan dalam ucapannya di program itu menggesa para guru menyertai Umno. Selepas menteri menggulung ucapannya, para murid melaungkan “Hidup Umno!”.

Perkembangan itu mengundang kritikan daripada ahli politik dan aktivis, yang mengingatkan sekolah bukan lapangan untuk berpolitik.

Sebelum ini Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 26 Mac lalu menasihatkan para guru yang menyokong pembangkang dan menghentam kerajaan secara keterlaluan agar meninggalkan profesion mereka.

Mahdzir dilaporkan menjelaskan perbuatan menghentam kerajaan melanggar peraturan perkhidmatan awam.

Katanya, biarpun Malaysia negara demokrasi dan menjadi hak mereka untuk menyokong mana-mana parti politik, guru tetap terikat dengan peraturan dalam perkhidmatan awam.

Tiada ulasan: