SHAH ALAM: Pesta Makanan dan Minuman Jerman anjuran Centro Mall tetap
akan diteruskan mengikut kelulusan yang dikeluarkan oleh Majlis
Perbandaran Klang (MPK) sebelum ini.
Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, walaupun polis
mengeluarkan surat pembatalan sokongan kepada majlis itu, tetapi
penganjur mahu meneruskan acara berkenaan.
Ujar beliau, keputusan itu dibuat memandangkan pesta sama sudah
dianjurkan selama enam tahun berturut-turut tanpa sebarang isu yang
dicetuskan seperti kali ini.
"Sudah enam tahun dan tiada masalah, ini bukan kali pertama. Sebelum
ini, permohonan, kelulusan dan pesta berjalan lancar malah ada pasukan
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengawal keselamatan.
"Pendirian penganjur ialah akan teruskan (Pesta Makanan dan Minuman
Jerman), sebab saya difahamkan mereka sudah memperoleh surat kebenaran
permit sementara dari MPK bertarikh 28 September lalu, berserta 20
syarat dan bayaran RM400.
"Tetapi bayaran itu belum dijelaskan kerana MPK menangguhkannya
berikutan kenyataan polis menarik balik sokongan permohonan berkenaan.
"Saya minta polis jangan menarik balik surat mengeluarkan surat
sokongan supaya pihak penganjur dapat meneruskan proses seterusnya iaitu
membuat bayaran," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis seharusnya bertindak bebas daripada sebarang gangguan pihak politik.
"Polis Klang Utara kata terpaksa menarik balik kerana mendapat arahan
dari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga
Menteri Dalam Negeri tetapi selepas itu, beliau (Ahmad Zahid) pula kata
ini isu teknikal dan operasi, kena tanya polis.
"Polis dalam keadaan keliru dan ulasan mereka tidak boleh dipercayai
serta tidak meyakinkan. Apabila dia tidak dapat bertindak dengan
profesional, bagaimana kita boleh terima ulasan mereka," katanya.
Chang Khim berkata, tiada isu ketenteraman awam kerana umat Islam tidak
dibenarkan menyertai pesta itu, selain ia dianjurkan secara tertutup.
Sementara itu, sebaik selesai sidang media, Chang Khim menunjukkan
surat pembatalan kebenaran mengadakan pesta berkenaan daripada Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang bertarikh 29 September dan
diterima hari ini.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada ia bermaksud surat pembatalan
sokongan, Chang Khim berkata, surat itu hanya membatalkan alamat
penyampaian semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan