Oleh Ainor Rahim
KOTA DAMANSARA: Lebih seratus orang memenuhi perkarangan Masjid Kota
Damansara, Petaling Jaya di sini bagi menyuarakan bantahan mereka
berkenaan penganjuran pesta arak di Selangor.
Mereka bertakbir sambil memegang sepanduk dan kain rentang antaranya
bertulis "Arak Perosak Akhlak" dan "Kami Benci Pesta Arak" sebagai tanda
bantahan, yang diadakan kira-kira jam 1:45 tengahari, selepas solat
Jumaat.
Wakil Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim Care, Muhammad Nazmi
Karim dalam ucapannya berkata, penganjuran pesta seumpama itu secara
jelas melangkaui kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.
"Ini negara kita, tanah kita. Negara ini ada agama rasmi iaitu Islam.
Islam lebih tinggi dan tidak ada satu agama pun yang melangkauinya.
"Kita tidak sekat orang bukan Islam untuk makan apa sahaja tetapi biar
beradab. Dalam rumah itu hak kamu, tetapi sampai buat pesta itu kurang
ajar. Cabar sensitiviti orang Islam.
"Saya nak pesan pada non-muslim. Jaga adab kamu dengan kami. Jangan
biarkan kami orang Islam ambil tindakan. Kami ada had kesabarannya,"
katanya.
Perlu ada tindakan tegas
Pada masa yang sama, Muhammad Nazmi turut menyelar pihak yang dilihat
tidak mengambil tindakan tegas untuk menolak pesta minuman keras
berkenaan daripada diadakan di Selangor.
"Kalau tuan tak rasa sensitif penghinaan ini, kebiadapan ini. Kita
tidak berani nak cakap, tak berani nak komen tak berani nak buat
demonstrasi, dibimbangi akan turun bala. Allah akan turun pada kita,"
tambahnya.
Susulan itu, satu memorandum turut diserahkan kepada Balai Polis Kota
Damansara menuntut tindakan yang selaras dengan arahan tegas yang telah
ditetapkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Imam II Masjid, Muhammad Najih Irshad Ahmad Puad memaklumkan antara
kandungan memorandum berkenaan adalah menuntut Polis Diraja Malaysia
(PDRM) melaksanakan penguatkuasaan 'menyekat' pesta arak menerusi lunas
undang-undang sedia ada.
Diantaranya, kita mengesyorkan PDRM mengambil tindakan dan memantau
pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya MBPJ supaya akur dengan
arahan, tidak meluluskan permohonan baru. Permohonan mereka yang cuba
untuk mengadakan pesta ini diadakan di tempat lain khususnya di
Selangor," tegasnya.
Dalam perkembangan terbaru, berkaitan pesta berkenaan, Yang Dipertua
Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin ketika
dihubungi Antarapos mengesahkan, pihaknya menerima arahan Ibu Pejabat
Polis Daerah Klang supaya tidak mengeluarkan kepada penganjur pesta
Centro Mall German Food & Beverages Festival.
Ia menyatakan polis tidak menyokong permohonan penganjur iaitu Centro
Properties Group Sdn. Bhd., atas tiga sebab iaitu ancaman keselamatan
atau militan, sensitiviti masyarakat dan bantahan masyarakat.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
pula dalam kenyataan terbarunya kepada media berkata pesta yang
membabitkan minuman keras berkenaan, yang dijadualkan berlangsung di
Klang pada 12 dan 13 Oktober ini boleh diteruskan sekiranya menepati
syarat yang ditetapkan.
Ujarnya, penganjuran festival itu yang sebelum ini dikenali sebagai
Oktoberfest dan melibatkan penjualan arak tidak mendatangkan masalah
kepada kerajaan negeri namun perlu memenuhi syarat PBT.
Sebelum ini, beberapa himpunan juga diadakan di masjid lain di
Selangor, membawa mesej yang sama dengan harapan pesta seumpama itu
tidak diadakan sekiranya terdapat cadangan untuk dianjurkan di sini,
selain turut menuntut campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah campur tangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan