SIAPAKAH sebenarnya insan bernama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman?
Adakah semua rakyat mengenali Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tersebut?
Terbaharu, Syed Saddiq mewujudkan
persepsi dalam kalangan rakyat apabila mendakwa disogok hampir RM5 juta
untuk meninggalkan PPBM.
Itulah kehebatan pemimpin pembangkang iaitu keupayaan mereka melakukan sandiwara politik.
Sandiwara yang dilakukan itu, kalau pun
tidak mampu mempengaruhi, sekurang-kurangnya boleh mewujudkan persepsi
dalam kalangan rakyat.
Adakah RM5 juta itu merupakan nilai yang kecil? Sudah tentu ianya merupakan nilai yang cukup besar.
Jadi, hebat sekali nilainya, baharu setahun jagung dalam politik Syed Saddiq sudah pun ‘berharga’ RM5 juta.
Siapakah individu yang membuat tawaran sedemikian terhadap Syed Saddiq?
Rakyat pastinya ingin mengetahui siapa individu yang membuat tawaran itu?
Apakah kelebihan Syed Saddiq sehingga dia ditawarkan sebanyak RM5 juta?
Jika ada, pastinya hanya individu berkenaan mengetahuinya kerana sanggup menawarkan jumlah wang yang begitu besar sekali.
Atau adakah Syed Saddiq hanya melakukan sandiwara dan gimik politik serta sengaja mencipta isu?
Anak muda itu pastinya tahu Pakatan
Harapan sedang kelam kabut, idola utamanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad
berusia 93 tahun sudah kehabisan modal untuk ‘serang’ kerajaan dan
memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN).
Memandangkan pemimpin-pemimpin dalam
‘parti bunga’ semakin layu untuk mencetuskan isu, maka anak muda yang
boleh dianggap bagaikan ‘bunga belum berkembang’ itu terpaksa bertindak
dengan mengadakan sidang akhbar dan membuat dakwaan yang meragukan.
Tidak kisahlah anak muda itu mahu atau tidak pergi menyambung pengajian ke Universiti Oxford.
Maklumlah universiti tersebut untuk
orang yang betul-betul pandai dan mahu belajar, bukannya orang yang
hanya pandai bercakap dan mahu main politik.
Tetapi apabila Syed Saddiq bercakap soal
ada pihak mahu menyogoknya diikuti pula dakwaan diperas ugut, ia
perlu dipandang serius.
Ini bukan bermaksud kita percaya apa
yang Ketua Armada PPBM itu perkatakan tetapi satu tuduhan yang perlu
dibuktikan oleh proses undang-undang.
Adakah rakyat percaya dengan dakwaan yang dikemukakan Syed Saddiq?
Syed Saddiq perlu segera membuktikan
siapa yang membuat tawaran tersebut kepadanya dan kalau benar buatlah
laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jika berani membuat dakwaan, Syed Saddiq perlu berani bertindak mengemukakan bukti dan membuat laporan kepada SPRM.
Jangan pula Syed Saddiq jadi seperti Rafizi Ramli yang hanya pandai membuat dakwaan tetapi langsung tiada bukti sahih.
Adakah Syed Saddiq sama seperti Rafizi?
Jadi, kepada Syed Saddiq, buktikan anda bukan Rafizi dan mempunyai bukti.
Sama-samalah kita tunggu. Jika tiada
tindakan dilakukan, maka pihak parti kerajaan perlu bertindak membuat
laporan kepada pihak berkuasa.
Tujuannya bukan sahaja bagi mencari
kebenaran tetapi mengajar anak muda itu supaya jangan sesekali
mengamalkan politik fitnah dan bersandiwara akibat ketaksuban.
Dibimbangi akibat ketaksuban dan
keghairahannya untuk menonjol diri, akhirnya boleh mendatangkan
kemudaratan dan kerugian kepada diri sendiri.
Ayuh Syed Saddiq, rakyat kini menantikan bukti dakwaan anda.
Jangan jadi atau dilabel seperti kata anak-anak muda hari ini… sembang kencang!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan