SHAH ALAM
– Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) optimis untuk mencapai
sasaran kutipan tambahan RM1 bilion bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST) dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini, kata Ketua Pengarahnya
Datuk Seri T. Subromaniam.
Beliau
berkata jangkaan itu sekaligus mampu memenuhi sasaran kutipan GST iaitu
sebanyak RM42 bilion pada tahun ini sepertimana yang ditetapkan menerusi
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jabatan berkenaan.
“Sepanjang
tahun lepas, Kastam telah berjaya mengutip kira-kira RM41 bilion dan
kita yakin tahun ini, kita akan dapat mengatasi kutipan tersebut.
“…dan bagi
merealisasikan pencapaian itu, Kastam akan mengambil pendekatan dengan
menempatkan pegawai-pegawai (Kastam) yang bertindak sebagai duta atau
wakil GST di persatuan dan dewan perniagaan seluruh negara bermula 15
Oktober sehingga 31 Disember depan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata
demikian selepas menghadiri Mesyuarat Pengarah-Pengarah
Kastam Se-Malaysia kali ke-82 di sini, hari ini, yang turut
dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST) Datuk Paddy
Abd Halim dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan )
Datuk Zulkifli Yahya.
Jelas
Subromaniam, langkah itu dibuat bagi membantu peniaga atau pemilik
syarikat yang menghadapi masalah berkaitan GST terutamanya dalam membuat
pengikraran yang betul pada penyata GST-03.
“Langkah
ini diambil berdasarkan kepada dasar baharu Kastam iaitu pematuhan
melalui pendidikan di mana pegawai ini akan membantu peniaga dalam
urusan GST.
“Untuk
permulaan kita akan menempatkan pegawai ini di sekitar kawasan Lembah
Klang sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat
mengikut kepada keperluan serta permintaan persatuan dan dewan
perniagaan ini,” katanya.
Sehubungan
itu, beliau mengingatkan peniaga dan pemilik syarikat supaya
memanfaatkan peluang yang diberikan pihaknya sebelum sebarang tindakan
tegas diambil terhadap mereka yang gagal membuat pengikraran penyata GST
masing-masing bermula 1 Jan tahun depan.
Sebelum
ini, menurut Subromaniam, peniaga yang gagal membayar GST dengan betul
hanya dikenakan penalti mengikut budi bicara jabatan itu.
“Namun, bermula
tahun hadapan selain perlu membayar cukai dan penalti, kita turut
membuat audit dan siasatan menyeluruh terhadap mereka mengikut
peruntukan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan