Jenazah
salah seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang
meninggal dunia akibat didera secara fizikal oleh tiga suspek. Gambar –
Berita Harian
Belum pun reda insiden kematian pelajar
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akibat didera pelajar
senior, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kematian dua anggota tentera
laut, akibat denda atau hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan
atau masalah disiplin yang telah dilakukan. Kita tidak pernah belajar
dengan apa yang berlaku, sedangkan dalam Islam, Allah mahu kita
mengambil pengajaran dalam setiap peristiwa yang berlaku.
Selama ini, apa yang berlaku dalam kem
tentera atau apa jua hukuman yang dilakukan tidak diketahui khalayak
kerana kem adalah tempat yang sangat ekslusif, tidak diketahui orang
ramai. Banyak pekung yang tersimpan. Luaran memang nampak cantik. Mereka
bernasib baik kerana tidak melibatkan kematian. Tetapi, pada kali ini,
Allah mahu menunjukkan betapa budaya sebegini perlu dibendung supaya
banyak lagi nyawa yang tidak berdosa tidak menjadi korban.
Isu ini bukan lagi isu Prosedure
Operasi Standard (SOP). SOP sebegini boleh dikatakan langsung tidak
terpakai, kerana banyak hukuman yang berjalan dilakukan oleh pegawai
bertugas mengikut kehendak hati mereka. Bertindak
sewenang-wenangnya.Inilah budaya tentera yang diwarisi sejak zaman
British yang dibanggakan selama ini. Misalnya, jika ada anggota rendah
tidak tabik kepada pegawai atasan, itu dianggap sebagai dosa besar dan
mesti dihukum.
Pernah berlaku insiden, pegawai tinggi
tentera tidak ditabik serta meluruskan badan oleh anggota tentera
berpangkat rendah, heboh satu kem. Hukuman dikenakan, hanya kerana tidak
ditabik dan meluruskan badan. Apakah ini SOP atau budaya tentera yang
masih relevan untuk dipraktikkan? Apakah tabik itu, suatu yang mesti?
Sepatutnya pegawai tinggi angkatan tentera perlu memikirkan apakah
mereka akan mendapat ‘tabik’ Allah di akhirat nanti, berbanding tabik
manusia, yang tidak ada apa-apa ini? Mungkin kepada mereka, tabik ini
isu besar, seolah-olah mereka tidak hormati, tetapi wajarkah dengan isu
tabik ini, sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. Ini hanya suatu
contoh.
Meskipun ini bukan contoh yang
menyebabkan kematian, tetapi budaya sebeginilah yang dianggap baik dan
amat dibanggakan oleh tentera. Sudah sampai masanya, budaya yang kita
warisan daripada barat (British) ini dikaji semula. Biarlah manusia
tidak tabik kepada kita, asalkan kita dapat tabik Allah di akhirat
nanti.
Selama ini denda atau hukuman yang
dikenakan kepada pesalah atau mereka yang melanggar disiplin amat berat.
Antara hukuman mereka yang dikenakan adalah lari keliling padang
memikul kayu panjang yang berat, berjemur di tengah panas, pumping di
tengah jalan bertar dengan menggenggam tangan (penumpuk) sehingga
berdarah dan sebagainya. Pelajar UPNM juga tidak terlepas hukuman ini.
Pegawai tentera akan menghukum mengikut
apa yang difikirkan sesuai untuk dihukum mengikut apa yang dilalui
selama ini. Mereka mungkin tidak sedar bahawa hukuman tersebut boleh
menyebabkan kehilangan nyawa. Mereka ingat nyawa manusia begitu murah
harga. Dalam kes ini, pernahkah mereka terfikir akan jika berlaku
kematian, berapa banyak air mata yang akan gugur. Ibu bapa kehilangan
anak, anak-anak kehilangan bapa, isteri kehilangan suami dan banyak lagi
kehilangan yang akan berlaku.
Saya masih teringat, ketika orang awam
memasuki kem tentera, melintasi padang kawad tanpa disengajakan atau
diketahui, orang awam tersebut ditengking seperti mana mereka menengking
tentera berpangkat rendah. Adakah ini budaya tentera?
Untuk makluman, kepada pegawai tentera,
memijak padang kawad atau melintasinya adalah seperti memijak al-Quran.
Padang kawad dianggap sesuatu yang suci. Memijak atau melintasnya
dianggap sebagai suatu ‘dosa besar’. Semua ini budaya barat. Wajarkah
hanya kerana melintasi padang kawad hukuman dikenakan memikul kayu
panjang dan berat berlari keliling padang.
Pelik
sungguh, sesuatu yang langsung tidak menjadi isu, dijadikan isu.
Justeru, sudah sampai masanya, semua perkara berkaitan dengan budaya
tentera ini dikajikan semula mengikut SOP yang sebenar-benar SOP.
Pegawai tentera tidak boleh bertindak atau menghukum sewenang-wenang
mengikut budi bicara dan nafsu mereka. Mereka bukanlah orang terpilih
yang berbeza dengan orang awam.
Isteri dan
ahli keluarga mereka adalah orang awam. Jangan ‘tenterakan’ mereka.
Bayangkan orang awam ini kehilangan nyawa, apakah ketika itu tentera
tidak ada perasaan. Inilah yang dirasai oleh orang awam hari ini. Kita
adalah manusia, tidak ada bezanya di sisi Allah melain iman dan taqwa. Apa jua pangkat, gelaran, pangkat yang berderet tersemat dibaju tentera,
tidak ada ertinya sekiranya kita hina di sisi Allah atau tidak mendapat
‘tabik’ Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan