Ahad, 1 Oktober 2017

Fastaqim 2.0 sedarkan rakyat perlunya perubahan negara melalui PAS - Subky

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Himpunan Fastaqim 2.0 yang berakhir semalam memberi mesej jelas kepada penyokong PAS supaya terus kekal memberikan sokongan kepada parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal tiba pada bila-bila masa.
 
Veteran PAS Subky Abdul Latif berkata himpunan gergasi itu bukan sekadar menyatukan penyokong PAS, tetapi mahu menyedarkan rakyat tentang perlunya perubahan negara melalui parti itu.
 
"Fastaqim bukan sekadar untuk menyatukan PAS, tetapi untuk menyedarkan rakyat ke arah perlunya perubahan negara melalui PAS.
 
"Menyeru rakyat menjelang pilihan raya ini faham 'standard' masyarakat madani, menjadikan PAS sebagai pilihan sekalipun PAS tidak akan menjadi pemimpin kepada mana-mana kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya tetapi rakyat mesti menyokong supaya PAS dapat jadi penentu dalam pembentukan selepas pilihan raya.
 
"Inilah dia punya semangat perhimpunan Fastaqim itu," katanya kepada Antarapos.
 
Perhimpunan Fastaqim 2.0 berakhir semalam selepas berlangsung selama dua hari di Pantai Tok Jembal, Terengganu.
 
Ia adalah kali kedua himpunan itu dianjurkan  selepas kali pertama pada tahun 2015, iaitu sebelum berlakunya perpecahan dalam kalangan anggota parti sehingga mewujudkan parti serpihannya, Amanah pada hari ini.
 
Malam kemuncak Fastaqim 2.0 semalam turut mengisytiharkan penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) sebagai parti komponen baru gabungan Gagasan Sejahtera (GAGASAN).
 
PAS sebelum ini konsisten untuk mendepani PRU14 menerusi GAGASAN selepas parti itu membuat keputusan memutuskan kerjasama bersama DAP dan PKR.
 
Penyertaan dua parti itu dilihat memantapkan lagi barisan blok ketiga diterajui PAS dalam percaturannya mendepani PRU1) yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.
 
 

Tiada ulasan: