Ahad, 1 Oktober 2017

Khidmat internet mahal tapi lembab

Oleh  Tan Kar Hing
 
 


Saya ambil maklum dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai insentif WiFi percuma sehingga hujung tahun ini yang ditawarkan di lebih 5,800 lokasi tumpuan (hotspot) di seluruh negara.

Bayaran kemudahan WiFi ini akan dikenakan semula pada tahun depan (2018) pada kadar yang lebih rendah.

1.  Saya dan semua rakyat Malaysia berasa begitu teruja dan ingin mengetahui senarai tempat 5,800 hotspot yang ditawarkan itu.

Untuk sekian lama, rata-rata penduduk di negara ini menggunakan internet persendirian (mobile data) untuk melayari peranti dengan caj antara yang termahal di Asia Tenggara serta kelajuan muat naik dan muat turun yang amat perlahan dan tidak stabil.

2.   Meskipun konsep WiFi percuma ini direalisasikan, ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah pokok hal internet nasional, di mana perkhidmatan ini telah dimonopoli sejak sekian lama dan menyebabkan perkhidmatan ini tidak berdaya saing (kompetitif).

Perkara seumpama ini telah menyebabkan masalah kos pengguna dan kelajuan masih lagi menjadi masalah utama. Jika perkara ini masih berulang, perkembangan teknologi baharu seperti sistem peperiksaan atas talian dan transaksi kewangan tidak dapat diperluaskan ke seluruh Malaysia.

3.  Perkembangan teknologi di Malaysia yang pesat menunjukkan masyarakat di negara ini telah menuju ke arah gaya hidup digital.

Rakyat menggunakan internet untuk melayari media sosial, menonton video, bermain permainan dalam talian, aplikasi berasaskan lokasi, enjin pencari dan perbankan internet.

Perkembangan yang sihat ini boleh diaplikasikan dengan melengkapkan sekolah-sekolah awam di negara ini dengan akses internet yang lebih laju dan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) seperti di negara-negara maju yang lain.

Saya berharap perdana menteri dapat memahami rakyat di negara ini yang mahukan penyelesaian yang dapat memberi impak jangka masa yang panjang.

* Tan Kar Hing adalah wakil rakyat Simpang Pulai dan naib ketua Angkatan Muda PKR
 
 

Tiada ulasan: