Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Keputusan sama ada wakil rakyat parti Amanah Khalid Samad
akan meninggalkan kerusi Parlimen Shah Alam dan buat julung kalinya
bertanding di Johor dijangka dimuktamadkan esok.
Selain tidak menolak kenyataan Timbalan Presiden Salahuddin Ayub,
Khalid Samad berkata perkara berkenaan merupakan salah satu percaturan
Pakatan Harapan (PH) atas dasar memenangi sebanyak mungkin kerusi pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Dia sahkan (dan) tidak menolak kemungkinan saya bertanding di Johor.
"Mungkin esok akan dimuktamadkan. Mungkin esok.
"Selesa itu bukan matlamatnya. Matlamatnya ialah untuk memenangi
sebanyak mungkin kerusi untuk boleh membentuk kerajaan diperingkat
persekutuan," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Amanah
berkata beliau akur dengan apa jua keputusan yang bakal diputuskan dan
rela melepaskan kerusi Shah Alam yang kini disandangnya, atas dasar
strategi gabungan pembangkang tersebut.
"Maka kalau dianggap saya bertanding di tempat lain boleh menyumbang
satu kerusi tambahan. Maka, saya harus mengambil tanggungjawab untuk
memenangkan kerusi itu. Nak tambah kerusi, bukan kita berjuang untuk nak
selesa. Kalau nak selesa bukan berjuang lah tu.
"Kita nak tengok kalau mana kita boleh sumbang supaya kita dapat lagi
banyak kerusi. Kalau Shah Alam ini kalau kerusi selamat dan pengundi di
sini (Shah Alam) akan sokong calon yang bawa mesej PH. Kalau dianggap,
saya boleh menyumbang untuk dapatkan satu lagi kerusi kita tak menang
lagi di tempat lain. Saya kena pergilah," tambahnya.
Terdahulu, ura-ura bahawa Khalid mungkin bertanding di Johor pada PRU14
bakal menjadi kenyataan selepas Salahuddin mengesahkan parti tidak
menolak langkah itu dalam usaha memuktamadkan beliau bertanding di
Johor.
Bagaimanapun, Salahuddin memaklumkan Majlis Presiden PH masih belum memuktamadkan kerusi yang bakal ditandinginya.
Peletakan Khalid di negeri berkenaan turut bakal menyaksikan
kemungkinan pertembungan dengan abangnya, Tan Sri Shahrir Samad yang
kini menyanding kerusi Parlimen Johor Bharu.
Bagaimanapun Salahuddin berkata, Amanah perlu berunding dahulu dengan PH kerana kerusi Johor Bahru merupakan milik PKR.
Dalam sidang media yang sama, Salahuddin turut tidak menolak
Presidennya, Mohamad Sabu akan menjadi calon untuk bertanding di Shah
Alam bagi menggantikan Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan