PETALING JAYA: Penulis buku dan aktivis yang pernah didakwa menghina Islam, Dr Kassim Ahmad meninggal dunia pagi tadi.
Kassim, 84, meninggal dunia di Hospital Kulim selepas terlantar dalam keadaan koma.
Allahyarham menjalani rawatan untuk jangkitan paru-paru dan injap jantung tersumbat pada 16 September.
Beliau merupakan antara aktivis sosialis di Malaysia, dan pernah
memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia bersama Dr Syed Hussin Ali, lama
sebelum parti itu bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk
menjadi PKR.
Beliau juga pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 5 tahun (1976-1981).
Kassim terkenal dengan karya “Hadis: Satu Penilaian Semula”, sebuah
kajian kritikal ke atas kewibawaan hadis sebagai sumber Islam, yang
diharamkan kerajaan pada 1986.
Pada 2014, Kassim didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya kerana
kenyataan pada sebuah seminar mengenai gagasannya yang diadakan di
Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah membebaskan dan melepaskan
Kassim selepas mengarahkan tuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak
berkuasa agama oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
ditarik balik, selepas pihak pendakwaan meminta kes terhadap cendekiawan
itu ditangguhkan kerana ketua pendakwaraya syariah belum dilantik.
Beliau turut berjaya mendapatkan pengisytiharan dari mahkamah sivil
yang tindakan Jawi menahan dan mendakwanya sebagai di luar bidang kuasa
agensi itu dan Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan