Jumaat, 6 Januari 2017

PAS tawar diri beri penerangan RUU 355 kepada Sarawak

 
Naib presiden PAS yakin Nancy Shukri dapat memahami isu RUU 355 dengan baik dan sedar ia tidak menjejaskan hak orang bukan Islam.


ibrahim-pas


PETALING JAYA: PAS bersedia memberikan penjelasan mengenai cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 kepada mana-mana pihak termasuk Sarawak.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata ia tidak pernah menolak pelawaan sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai RUU 355.

“Kalau mereka (pemimpin Sarawak) panggil PAS, kita sendiri bersedia untuk memberikan penjelasan. Setakat yang saya maklumkan, tiada permohonan daripada mereka,” katanya kepada FMT, hari ini.

Idris berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Datuk Seri Nancy Shukri semalam yang pemimpin Sarawak masih tidak diberikan taklimat mengenai RUU 355 tersebut.

Justeru, kata Nancy kedudukan negeri itu tetap sama iaitu menolak cadangan pindaan yang dilihat sebagai satu cara untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Idris turut memberikan contoh yang pemimpin parti itu pernah mengadakan pertemuan dan penerangan dengan Persekutuan Persatuan Hokkien pada September tahun lalu.

Kata ahli Parlimen Bukit Gantang itu, isu RUU 355 mudah difahami namun ia dipolitikkan sesetengah pihak.

“Beliau peguam (Nancy), tidak munasabah beliau tidak tahu mengenai RUU 355, benda ‘simple’ sangat. Benda mudah, tidak mengganggu langsung hak bukan Islam, lebih kepada politik,” katanya.

Pindaan RUU 355 yang dicadangkan dibawa ke Parlimen oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui rang undang-undang persendirian tahun lepas.

Ia berhasrat memberi kuasa menghukum tidak terhad kepada mahkamah Syariah, yang menyebabkan orang ramai mempercayai ia hanya satu cara bagi PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Bagaimanapun, Hadi menangani kebimbangan ini dengan meminda cadangan beliau dan mengehadkan hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Banyak parti komponen Barisan Nasional, masih percaya ia hanyalah pintu belakang untuk memperkenalkan undang-undang hudud.

Tiada ulasan: